ROBOT milik pasukan SLASH yang dipertandingkan dalam Cabaran Robotik myMaker 2016.
ROBOT milik pasukan SLASH yang dipertandingkan dalam Cabaran Robotik myMaker 2016.
PERTARUNGAN antara robot milik pasukan SLASH dengan lawannya pada peringkat akhir Cabaran Robotik myMaker 2016.
PERTARUNGAN antara robot milik pasukan SLASH dengan lawannya pada peringkat akhir Cabaran Robotik myMaker 2016.
JUARA bersama hadiah masing-masing selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Robotik myMaker 2016 di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.
JUARA bersama hadiah masing-masing selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Robotik myMaker 2016 di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.
PASUKAN SLASH bersama hadiah kemenangan selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan Cabaran Robotik myMaker 2016 di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.
PASUKAN SLASH bersama hadiah kemenangan selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan Cabaran Robotik myMaker 2016 di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.
Redzuan Muharam


Bukan hanya berkongsi minat yang sama, tetapi lapan sahabat ini rela berkongsi wang simpanan masing-masing berjumlah RM15,000 untuk mencipta robot bagi dipertandingkan dalam Cabaran myMaker Robotik 2016.

Pelaburan mereka nyata berbaloi apabila muncul juara keseluruhan bagi pertandingan yang disertai 216 pasukan membabitkan 860 peserta dari 60 sekolah serta Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di seluruh negara.

Mereka adalah Lim See Chong,19; Lim Jun How,15; Wong Xing Yik,18; Wong Xing Yoong,20; Kevin Wong Sen Chun,20;Lim See Chong,19; Siew Jia Wei,17 dan Choon Joe Jen,16 atau lebih dikenali sebagai Slash Robotic Club (SLASH).

Selain bergelar juara keseluruhan, SLASH turut muncul johan dalam kategori Combat dan Humanoid Robot Fighting, Tower Conquer (naib johan), IOT Robot (tempat ketiga) dan Keseimbangan Robot (tempat kedua) dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM5,300.

Ketua Pasukan SLASH Lim See Chong berkata, mereka memang mengharapkan kemenangan besar dan berpuas hati kerana impian itu akhirnya tercapai walaupun baru pertama kali mengambil bahagian.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, 15 robot dicipta untuk pertandingan berkenaan dan tempoh sebulan diambil bagi membentuk kesemuanya berfungsi sebagai alat bantu belajar.

“Setiap satu robot itu mempunyai berat dua kilogram (KG) dan dicipta hasil perbincangan kami bersama menggunakan keluli tahan karat.

“Kosnya agak mahal. tetapi beban tidak begitu terasa kerana kami berkongsi wang simpanan hasil kemenangan dalam pertandingan disertai sejak dua tahun lalu,” katanya yang ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah di Bangunan Lama , Cyberjaya di sini.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Kanan Bahagian Teknologi dan Masyarakat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) Aisharuddin Nuruddin dan Pengarah Jabatan Gaya Hidup, Masyarakat dan Digital MCMC John Tay.

MCMC menyediakan platfom untuk pertandingan ini.

Lim berkata, bukan mudah mendapatkan idea bagi mencipta kesemua robot berkenaan kerana ia memerlukan tumpuan dan tahap ketelitian yang amat tinggi.

Namun, Lim percaya, semua peserta menghadapi cabaran serupa jadi tiada sebab mereka menjadikan ia sebagai alasan untuk menghasilkan yang terbaik.

“Kami datang dari latar belakang yang berbeza, malah saya sendiri tiada asas dalam bidang robotik mahupun multimedia.

“Cuma kerana minat, saya sanggup belajar dari abang yang turut gemar menyertai pertandingan robotik.

“Selebihnya, saya usaha sendiri selain bertukar-tukar idea dengan rakan lain bagi menghasikan ciptaan robot seperti yang dapat dilihat ini,” katanya yang kini menjadi pencipta robot sepenuh masa.

Mengenai hala tuju SLASH, Lim berkata, mereka akan terus menyertai pertandingan robotik yang lain masa depan.

Kata Lim, kalah atau menang itu bonus sebaliknya apa yang lebih penting adalah pengalaman sepanjang pertandingan berlangsung.

“Kalau boleh, kami mahu turut serta dalam pertandingan lain bagi mengutip pengalaman dan salah satu yang disasarkan adalah Kejohanan Robotik Singapura pada tahun depan,” katanya

Cabaran myMaker Robotik 2016 dianjurkan MCMC bermula 11 hingga 13 November lalu dengan kerjasama Pertubuhan Kejuruteraan Robotik Malaysia (MREA) dan Pertubuhan myMaker.

Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan dalam pertandingan itu iaitu Cabaran IOT Robotik, Combat Robot, Tower Conquer, Tower Defence, Humanoid Robot Fighting, Autonomous Sumo Robot, Self- Balancing Sumo Robot serta RC Sumo Robot kategori junior dan senior.

Selain remaja dan dewasa, pertandingan itu turut menarik penyertaan peserta paling muda iaitu murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Hua, Seremban, Hon Seong Zhen yang baru berumur 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 9:36 AM