Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini, melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur bagi tempoh 2020 hingga 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, melalui pelan itu sebanyak tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program sudah dirangka sepanjang lima tahun pelaksanaannya.

Katanya, program yang dirangka itu bertujuan meningkatkan kesedaran, mengubah persepsi serta stigma yang sering dikaitkan dengan isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat.

"Perkahwinan bawah umur sudah lama diamalkan di negara ini, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan usaha bagi membangunkan Pelan Strategi bagi menangani punca perkahwinan bawah umur di negara ini.

"Bagaimanapun tidak ramai menyedari kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kanak-kanak.

"Seharusnya mereka ini diberi peluang untuk merealisasikan potensi untuk masa depan yang cerah selaras dengan peranan negara terhadap Konvensyen Hak Kanak-Kanak," katanya dalam sidang media yang diadakan selepas melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur, di kementeriannya, di Putrajaya.

Hadir sama, Timbalannya, Hannah Yeoh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Antara program yang terbabit dalam dalam memperkukuhkan program sokongan sosio-ekonomi dan jangkauan sedia ada ialah dengan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif diri yang mesra kanak-kanak dan remaja (lelaki dan perempuan).

Selain itu, melalui pelan berkenaan ia turut menawarkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kemahiran kepada kanak-kanak atau belia yang tercicir daripada pendidikan serta memantapkan data perkahwinan dan penceraian bagi orang Islam dan bukan Islam termasuk di bawah umur 18 tahun.

Wan Azizah yang juga Menteri KPWKM itu berkata, pelan terbabit akan dipantau keberkesanannya melalui penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia yang mana keahliannya akan dipilih daripada pihak berkepentingan sesuai mengikut peranan masing-masing.

"Perancangan dan pelaksanaan sahaja tidak akan memadai, jadi jawatankuasa ini akan memantau pelaksanaan dan perkembangan program serta tindakan yang dirancang di setiap peringkat pelaksanaannya.

"Ia akan berfungsi sebagai platform untuk agensi pelaksana yang terbabit dalam melaporkan status tindakan, isu dan cabaran serta cadangan penambahbaikan terhadap setiap program atau tindakan yang dilaksanakan berkuatkuasa dari tempoh pelaksanaan Pelan ini sehingga program dan tindakan yang dirancang dalam tempoh Pelan ini yang tamat pada 2025," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga sudah mengenal pasti enam punca utama berlakunya perkahwinan bawah umur berkenaan.

"Enam punca berkenaan ialah pendapatan rendah dan kemiskinan, kurang pengetahuan serta akses kepada Pendidikan Kesihatan Reproduktif (SRH) atau kemahiran keibubapaan, kekurangan akses kepada pendidikan atau keciciran ke sekolah, stigma dan norma sosial terhadap perkahwinan bawah umur yang dijadikan sebagai pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah.

"Selain itu undang-undang longgar yang memperuntukkan permohonan berkahwin di bawah 18 tahun dan terakhir penyelarasan data perkahwinan serta perceraian bawah umur.

"Sehubungan itu, punca yang dinyatakan itu akan ditangani melalui perubahan dasar, penambahbaikan perundangan dan pelaksanaan program yang dirangka dalam pelan yang dilancarkan hari ini.

"Diharapkan dengan pelan yang diadakan ini dapat menangani isu berkenaan daripada terus berlarutan dan seterusnya memberi kehidupan yang lebih baik demi masa depan kanak-kanak di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 2:37 PM
Wan Azizah ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan bawah Umur di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Wan Azizah ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan bawah Umur di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah