Siti Zailah menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan sempena Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Siti Zailah menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan sempena Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Seramai 287 mangsa seks luar tabii membabitkan individu berusia bawah 18 tahun yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2019 hingga bulan lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 94 kes.

"Ia disusuli Kuala Lumpur dengan 39 kes, Johor (37), Sabah (18), Sarawak (17), Pahang (16), Perak (16), Kedah (13), Pulau Pinang (12), Terengganu (sembilan).

"Selain itu, Negeri Sembilan merekodkan lapan kes, disusuli Melaka (lapan), Kelantan (enam) dan Perlis (empat)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang bertanyakan statistik kes kesalahan seks luar tabii membabitkan kanak-kanak dan remaja.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, sejumlah 208 kes yang direkodkan dalam tempoh berkenaan adalah membabitkan mangsa berusia di bawah 16 tahun.

"Bagi mangsa berusia 16 hingga 18 tahun pula adalah berjumlah 82 kes, menjadikan keseluruhan kes berjumlah 290 (ada mangsa catat lebih satu kes).

"Dari segi jantina, sejumlah 114 mangsa adalah lelaki dan 176 mangsa pula perempuan," katanya.

Menjawab soalan asal Wan Hassan yang bertanyakan pelan strategik jangka masa panjang bagi menangani kes rogol bawah umur dan sumbang mahram, Siti Zailah berkata, beberapa pelan strategik jangka masa panjang dibangunkan bagi mengatasi isu berkenaan.

Antaranya, katanya, menerusi Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Pekerti) yang bermatlamat meningkatkan kesedaran semua pihak termasuk wanita, keluarga dan kanak-kanak berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat yang penyayang, bertanggungjawab serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur menetapkan komitmen pemegang taruh utama di peringkat kerajaan, swasta dan badna bukan kerajaan (NGO).

"Kementerian juga menubuhkan Pasukan Petugas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak dan Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-isu Sosial Kanak-kanak di Media Sosial pada Jun lalu.

"Jawatankuasa ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan NGO bagi menangani isu keselamatan siber dengan mempergiat advokasi dan intervensi serta menambah baik aspek perundangan dengan menguatkuasakan aspek pengawalan ke atas laman sesawang pornografi kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 4:20 PM