TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk, tengah) bersama warga kerja Kementeriannya pada Perhimpunan Bulanan KPWKM hari ini. FOTO BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk, tengah) bersama warga kerja Kementeriannya pada Perhimpunan Bulanan KPWKM hari ini. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad


KERAJAAN akan menggunakan peruntukan RM30 juta untuk pembinaan taska di tempat kerja awam, terutamanya di sekolah dan hospital bagi menyokong ibu bapa yang bekerja.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memfokuskan kepada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan kumpulan sasarnya sama ada membabitkan penambahbaikan kepada aspek perundangan, pembangunan kapasiti mahupun aspek perlindungan pada tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sebanyak 33 program di bawah janji kerajaan iaitu sembilan cadangan program baharu dan 24 program sedia ada akan dilaksanakan kementerian pada tahun 2020.

“Kami sudah memulakan momentum yang sangat baik pada awal tahun 2020 melalui pelancaran Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur pada 16 Januari lalu. Saya berharap gerak kerja ini berterusan secara istiqamah sepanjang tahun," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KPWKM di Putrajaya tadi.

Dr Wan Azizah berkata kementerian akan terus mengambil inisiatif untuk menubuhkan jabatan atau agensi berhubung perkembangan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak di Malaysia.

Beliau berkata beberapa fokus juga telah digariskan pada tahun ini termasuklah penambahbaikan dari aspek perundangan seperti penggubalan Rang Undang-undang Gangguan Seksual yang bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada semua pihak dan tidak hanya terhad di tempat kerja.

Cadangan pindaan terhadap Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 akan turut dilakukan dengan menitik beratkan aspek perlindungan dan keselamatan OKU melalui penguatkuasaan undang-undang.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial yang bertujuan untuk mengiktiraf profesion kerja sosial kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

Dr Wan Azizah berkata program membabitkan kumpulan sasar wanita perlu diberikan tumpuan pada tahun ini memandangkan tahun 2020 adalah ulang tahun ke-25 Beijing Declaration and Platform For Action yang memerlukan aspek pemerkasaan dan perlindungan terhadap wanita dipertingkatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 4:56 PM