KIRA-kira 23 gadis bawah umur berkahwin setiap minit.
KIRA-kira 23 gadis bawah umur berkahwin setiap minit.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Perkahwinan kanak-kanak adalah masalah global dan dianggarkan 12 juta gadis di bawah umur 18 tahun berkahwin setiap tahun di peringkat global.

Jumlah ini bersamaan dengan kira-kira 32,876 gadis sehari atau 23 gadis setiap minit.

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menunjukkan bahawa kira-kira 18 peratus kanak-kanak yang berkahwin sebelum usia 18 tahun adalah kanak-kanak lelaki, sementara sekitar 82 peratus adalah kanak-kanak perempuan.

Memetik Ringkasan Advokasi: Ke Arah Mengakhiri Perkahwinan Kanak-Kanak di Malaysia, sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak berkahwin setiap tahun setakat 2018.

Perkahwinan bawah umur ialah pelanggaran hak kanak-kanak yang menafikan hak kanak-kanak itu dalam semua aspek termasuk peluang pendidikan, masa depan dan membawa kepada risiko kemiskinan berterusan.

Selain itu, perkahwinan ini juga mendedahkan kanak-kanak kepada risiko dan ancaman tertentu terhadap kesejahteraan mereka, termasuk eksploitasi dan penderaan serta risiko kesihatan yang ditimbulkan oleh kehamilan awal dan kelahiran anak.

Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita dan Jawatankuasa Hak Kanak-kanak berpendapat bahawa, perkahwinan kanak-kanak dianggap sebagai satu bentuk perkahwinan paksa, memandangkan satu 'dan atau' kedua-dua pihak tidak memberikan persetujuan secara penuh, bebas dan bersedia.

Ia adalah keadaan apabila salah satu pihak yang terbabit tidak bersedia secara fizikal dan psikologi untuk berkahwin serta menjalani kehidupan seperti orang dewasa atau tidak bersedia memberikan persetujuan untuk berkahwin.

PERKAHWINAN kanak-kanak boleh menjejaskan emosi.
PERKAHWINAN kanak-kanak boleh menjejaskan emosi.

Di Malaysia dan di seluruh dunia, seruan untuk membasmi perkahwinan kanak-kanak semakin mendapat tempat.

Komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa untuk tujuan ini termasuk meratifikasi Konvesyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995.

Kemudian menarik balik reservasi bagi Perkara 16(2) mengenai perkahwinan kanak-kanak pada 2010.

Begitu juga komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Lestari-Matlamat Lima (Mencapai Kesaksamaan Jantina dan Memperdayakan Semua Wanita dan Gadis) juga merujuk kepada menghapuskan semua amalan berbahaya, termasuk perkahwinan kanak-kanak, perkahwinan awal dan perkahwinan paksa.

Juga perlu diperhatikan bahawa mengakhiri perkahwinan kanak-kanak akan membantu Malaysia memenuhi sekurang-kurangnya lapan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

SDG pertama ialah tiada kemiskinan, kelaparan sifar, kesihatan baik dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, kesaksamaan gender, pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi, mengurangkan ketidaksamaan dan SDG terakhir adalah keamanan, keadilan dan institusi kukuh.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga menyatakan perkahwinan kanak-kanak sebagai amalan tidak sihat yang sangat memudaratkan kesihatan dan psikologi kanak-kanak.

PERKAHWINAN kanak-kanak adalah isu global.
PERKAHWINAN kanak-kanak adalah isu global.

Pada 2020, Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ketika itu melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur Tahun 2020 hingga 2025.

Tujuannya untuk menghentikan amalan semua bidang kuasa melalui program atau tindakan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang yang membabitkan agensi kerajaan persekutuan serta negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) organisasi antarabangsa juga masyarakat.

Pembasmian perkahwinan kanak-kanak di Malaysia adalah tanggungjawab bersama yang membabitkan banyak pihak berkepentingan.

Perubahan perlu dilaksanakan di segenap lapisan masyarakat. Kepentingan terbaik kanak-kanak mesti menjadi faktor pendorong untuk meraih sokongan dan mendesak pembaharuan dalam semua perkara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 6:30 AM