FUZIAH (tengah) bersama sebahagian ahli Pertubuhan Pembangunan Wanita Che Siti Wan Kembang (CSWK). FOTO Syamsi Suhaimi.
FUZIAH (tengah) bersama sebahagian ahli Pertubuhan Pembangunan Wanita Che Siti Wan Kembang (CSWK). FOTO Syamsi Suhaimi.
Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin


KELANTAN menjadi negeri paling tinggi mencatat perkahwinan bawah umur dengan 135 kes direkodkan sepanjang 2018 daripada keseluruhan 841 kes di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, ia diikuti Sabah dan Sarawak, manakala negeri lain mencatat bawah 100 kes pada tahun itu.

Katanya, walaupun kerajaan Kelantan tidak bersetuju menaikkan had umur, namun prosedur atau garis panduan ketat perlu dilakukan bagi menangani masalah perkahwinan berkenaan.

Beliau berkata, jumlah kes lebih tinggi mungkin akan direkodkan jika kerajaan negeri tidak bersetuju menaikkan had umur 18 tahun untuk kedua-dua pasangan, berbanding 16 tahun bagi wanita dan 18 tahun untuk lelaki ketika ini.

“Cabaran kita supaya perkahwinan bawah umur tidak berlaku.

“Sebab itu kita bawa prosedur operasi standard (SOP) dengan memastikan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes setiap permohonan perkahwinan bawah umur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perkahwinan Bawah Umur: Antara Harapan dan Realiti anjuran Pertubuhan Pembangunan Wanita Che Siti Wan Kembang (CSWK), di Kota Bharu, hari ini.

Fuziah berkata, ini kerana, Hakim Mahkamah Tinggi mempunyai lebih banyak pengalaman untuk meneliti setiap permohonan.

Katanya, hakim boleh meminta latar belakang keluarga sama ada perkahwinan itu disebabkan kemiskinan, selain laporan kesihatan dan psikologi iaitu kesediaan mental pasangan terbabit.

“Ia bermakna Hakim akan menjadi ‘penjaga pintu’ kepada kelulusan itu.

“Sebab itu ia perlu undang-undang, SOP, garis panduan serta prosedur yang ketat dan ini memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Pelan Strategi Kebangsaan dilancarkan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pelan itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program dan sudah dirangka sepanjang pelaksanaannya dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, banyak perkara yang boleh dilakukan termasuk strategi mendidik, pencegahan serta undang-undang untuk memastikan perkahwinan bawah umur tidak mudah berlaku.

“Perlu ikut SOP digariskan dan jalan penyelesaian terbaik tidak semestinya perkahwinan.

“Boleh juga cari jalan penyelesaian lain iaitu memberi peluang kedua kepada anak gadis selain berkahwin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 4:17 PM