Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, bagaimanapun kerajaan tetap komited untuk mengekang perkahwinan bawah umur yang dilaksanakan melalui program di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

"Ini kerana punca perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malahan melalui pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosio ekonomi masyarakat.

"Pada masa sama, Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan akan terus memantau pelaksanaan dan perkembangan program yang dirancang," katanya dalam satu kenyataan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai status terkini pembentangan rancangan mengharamkan perkahwinan bawah umur bagi membendung eksploitasi kanak-kanak.

Mengulas lanjut , Rina berkata, kerajaan bersetuju penetapan had umur kepada 18 tahun ini adalah tertakluk pada kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Menurutnya, ia termasuk cadangan untuk mengadakan sesi perbincangan bersama pihak MAIN akan diperhalusi melalui kerjasama advokasi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

"Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak yang berkepentingan sama ada di peringkat kerajaan persekutuan mahupun negeri supaya lebih prihatin dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam menangani perkahwinan bawah umur di negara ini demi menjamin masa hadapan kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 1:06 PM