SAARI (tengah) terima bantuan kerusi roda daripada Penyelaras DUN Serting. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
SAARI (tengah) terima bantuan kerusi roda daripada Penyelaras DUN Serting. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

“SEMUANYA berpunca daripada luka yang tidak dijaga sehingga menyebabkan sebelah kaki suami terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman.

“Sebagai isteri saya reda dengan nasib menimpa suami yang kehilangan kaki kiri akibat komplikasi kencing manis, ” kata Fauziah Daud, 47.

Fauziah yang menetap di Felda Raja Alias Empat, Jempol, Negeri Sembilan berkata, suaminya, Saari Baeng, 65 mengidap kencing manis sejak 20 tahun lalu.

“Namun kira-kira sebulan lalu, kakinya terluka sebelum berlaku jangkitan kuman sehingga sukar untuk dirawat.

“Doktor membuat keputusan memotong kaki kiri suami bagi mengelakkan komplikasi lain. Pembedahan untuk memotong kaki dijalankan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ) seminggu lalu.

“Ketika ini baru kita menyedari betapa besar risiko perlu diambil jika kita tidak menjaga kesihatan dan pemakanan terutama bagi pesakit kencing manis ini,” katanya.

Fauziah berkata, dia akan memastikan kebajikan suami akan dijaga dengan baik selain turut mengawal makan minum suaminya supaya keadaan tidak menjadi semakin serius.

Katanya, suaminya menerima bantuan bulanan RM140 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) selain membuat permohonan bantuan perubatan daripada Baitulmal.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Serting Abd Rahman Ramli menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada Saari di rumahnya semalam.

Abd Rahman berkata kerusi roda berkenaan diharap dapat memudahkan pergerakan Saari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 8:14 PM