Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Demi kasih sayang seorang isteri sanggup berhenti kerja demi menguruskan suami tercinta yang menghidap penyakit jantung dan kencing manis kronik sejak empat tahun lalu.

Pengorbanan yang dilakukan Hasmah Idris, 58, demi memastikan suaminya, Yusup Din, 59, mendapat penjagaan yang terbaik selepas pergerakannya terbatas selain perlu memakai lampin pakai buang akibat penyakit yang dihidapi.

Hasmah berkata, dia yang sebelum ini bekerja sebagai tukang sapu di Kolej Komuniti Kok Lanas terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja memandangkan tidak ada sesiapa yang dapat mengurus serta menjaga suaminya itu.

"Sebelum ini, suami saya berkhidmat sebagai anggota tentera di Kem Terendak, Melaka dan berpencen pada 2001, kemudian bekerja pula sebagai kelindan lori untuk menyara keluarga namun terpaksa berhenti sejak empat tahun lalu selepas diuji dengan penyakit yang dihidapinya sekarang.

"Bagaimanapun, penyakit kencing manis yang dihidapi suami semakin serius sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya membengkak dan pada Mac lalu sepatutnya kaki kiri perlu dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman.

"Namun doktor memaklumkan sekiranya suami saya menjalani pembedahan untuk memotong kaki kirinya ia memberi risiko berikutan suami saya menghidap penyakit jantung dan disebabkan itu doktor hanya membuang nanah di bahagian luka dan perlu berulang-alik ke Klinik Kesihatan Pulai Chondong setiap tiga hari sekali untuk mencuci luka," katanya ketika ditemui di Taman Bandar Sri Aman, Pulai Chondong.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Akidi Hamid yang turut menyerahkan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Yusup.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia di antara 22 hingga 39 tahun ini berkata, selepas dia dan suami berhenti kerja, kini mereka bergantung kepada anak sulung, Nor Mastura, 39, yang menghulurkan sedikit kewangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.

"Bagaimanapun, sebolehnya saya tidak mahu menyusahkan anak-anak kerana mereka masing-masing mempunyai tanggungjawab dan keluarga sendiri dan wang pencen yang diperoleh suami digunakan untuk membeli keperluannya seperti lampin pakai buang.

"Bukan mudah untuk menjaga pesakit kencing manis terutama apabila dia mempunyai luka dan segalanya perlu dipastikan dalam keadaan bersih dan kering supaya tidak berlaku jangkitan kuman.

"Dalam menguruskan anggota keluarga yang sakit, semangat daripada ahli keluarga perlu kuat selain sentiasa peka dengan perubahan emosi pesakit," katanya.

Menurutnya, sepanjang menjaga suaminya yang sakit, dia bertuah kerana Allah SWT mempermudahkan urusannya untuk menguruskan keperluan suami pada setiap hari.

"Setiap hari saya dan anak-anak sentiasa memberi kata-kata semangat selain kami tidak pernah putus berdoa agar suami kembali sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 6:30 AM
HASMAH  berhenti kerja untuk mengurus serta menjaga suami, Yusup di rumah mereka  di Taman Bandar Sri Aman, Pulai Chondong.
HASMAH berhenti kerja untuk mengurus serta menjaga suami, Yusup di rumah mereka di Taman Bandar Sri Aman, Pulai Chondong.