SAMAH bersama hasil lukisannya.
SAMAH bersama hasil lukisannya.
Rodly Fadly

Benarlah kata orang, hidup ini ibarat roda. Itulah yang dilalui bekas jaguh sukan angkat berat negara, Samah Ali, 61.

Jika dulu dia mampu membuat angkatan seberat 100 kilogram (kg), kini pergerakannya terbatas akibat penyakit kencing manis.

Samah yang bersara selepas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, kini terpaksa menggunakan kerusi roda dan kaki palsu untuk bergerak selepas kaki kirinya dipotong paras betis pada tahun 2011 akibat komplikasi penyakit dialaminya.

Namun, dia yang ditemui di kediamannya di Flat Seri Perindu, Alam Damai, Cheras ternyata kuat semangat dan tidak sedikit pun mengeluh dengan keadaannya sekarang. Malah, dia menerimanya sebagai takdir.

“Memang kehidupan saya sedikit berubah selepas kaki kiri terpaksa dipotong. Pergerakan dan aktiviti harian saya terbatas. Kalau dulu ketika aktif bersukan saya tidak betah duduk diam tapi sekarang masa saya banyak dihabiskan di rumah.

“Cuma sesekali, jika ada pihak menjemput untuk menjadi pengadil pertandingan angkat berat, saya akan penuhi.

“Saya reda dengan apa yang terjadi, ini takdir yang sudah ditentukan Allah. Tiada apa yang perlu saya kesal dan ratapi,” katanya.

Menurut Samah, dia mula menghidap kencing manis pada akhir 1990-an tapi mampu mengawalnya sehinggalah pada 2011 ia menjadi serius.

“Saya terpaksa memotong kaki bagi mengelak jangkitan kuman terus merebak dan menjadi lebih parah,” katanya.

Samah berkata, walaupun keadaan sekarang sedikit menyukarkan pergerakannya, dia bersyukur dapat meneruskan kehidupan dengan selesa bersama isteri Normah Shariff.

Baginya, wang pencen sebagai pesara Pustakawan Kementerian Pertahanan sebanyak RM700 sebulan serta bantuan bulanan RM1,300 daripada Baitulmal mencukupi untuk menyara hidup mereka berdua.

“Saya juga berterima kasih kepada YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) yang menderma kaki palsu serta kerusi roda bernilai tidak kurang RM10,000 sebaik kaki saya dipotong. Ini sudah memadai dan saya sangat bersyukur.

“Cuma, sekarang, kalau boleh saya ingin memohon kepada YAKEB kaki palsu dan kerusi roda baru kerana kedua-duanya sudah tidak selesa untuk digunakan lagi,” katanya.

Sepanjang kariernya sebagai jaguh angkat berat negara, Samah mencipta beberapa kejayaan. Antaranya, memenangi pingat emas Kejohanan Angkat Berat Asia pada 1977 (Singapura) dan 1979 (Filipina) serta Sukan SEA 1979 di Jakarta.

Samah mengakhiri kariernya dengan memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Baginya, walaupun kejayaannya hanya boleh dibilang dengan jari, dia tetap berbangga dengan pencapaian berkenaan berdasarkan suasana sukan di Malaysia ketika itu.

“Dulu sukan angkat berat tidak diberi perhatian serius. Kemudahan berlatih pun kurang. Kami juga tiada jurulatih, hanya berlatih sendiri. Soal pemakanan tambahan juga tidak dititikberatkan seperti sekarang.

“Ganjaran jauh berbeza berbanding sekarang, malah ketika itu kami tak pernah memikirkan berapa wang yang dapat jika menang. Kami seronok serta bangga mewakili negara dan bekalan utama kami adalah semangat,” katanya.

Samah berkata, melihat deretan medal dimenangi yang digantung dalam almari khas di biliknya serta membaca keratan akhbar mengenai dirinya menjadi terapi untuk menangani emosinya.

Katanya, mungkin kerana itu dia tidak pernah tertekan dengan nasib menimpa.

Dia turut mengisi ruang masa dengan memanfaatkan bakatnya dalam bidang lukisan. Walaupun tiada peralatan lengkap, sekadar beberapa batang pensel warna dan kotak terpakai, beliau berjaya menghasilkan lukisan menarik.

“Saya melukis sekadar mengisi masa dan minat. Kotak terpakai saya kumpul dan jadikan ‘kanvas’ untuk melukis. Setakat ini saya tidak bercadang membabitkan diri secara komersial, cukuplah untuk menghiasi dinding rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 1:48 PM