Zuhainy Zulkiffli


RESTORAN nasi kandar terkenal di Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown diarah tutup 14 hari sehingga 21 Januari ini berikutan, penemuan najis dan air kencing tikus serta lipas di dapur premis.

Malah tikus dilihat berkeliaran di dapur sama ketika pemeriksaan penguat kuasa.

Turut diarah tutup 14 hari adalah dua pasar mini di bandar itu

Pegawai Kesihatan dan Persekitaran, Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M Bawani berkata, selain premis berkenaan, pihaknya turut memeriksa sebuah lagi restoran nasi kandar di Little India.

Katanya, restoran nasi kandar kedua yang diperiksa dikenakan kompaun RM100 kerana menyimpan kesemua bahan dalam peti sejuk yang dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran silang.

“Manakala dua pasar mini itu diperintah tutup kerana terdapat kesan kehadiran makhluk perosak selain tahap kebersihannya yang tidak memuaskan.

“Dalam tempoh penutupan, premis berkenaan wajib membersihkan premis masing-masing,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Bawani turut menasihati pemilik premis atau pengendali makanan supaya sentiasa menjaga kebersihan premis mereka.

Katanya, pemilik premis juga perlu mengambil inisiatif melakukan kawalan serangga perosak bagi mencegah kehadirannya.

“Kami akan terus menjalankan pemantauan dan pemilik premis perlu memastikan supaya mereka mengikut garis panduan ditetapkan semasa mengendalikan makanan termasuk memakai pakaian sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 3:40 PM