Zuhainy Zulkiffli


RESTORAN nasi kandar di Jalan Gurdwara, Georgetown yang popular dalam kalangan pelancong dikompaun atas dua kesalahan termasuk meletakkan makanan di atas lantai.

Restoran itu juga didapati merebus telur di dapur premis yang tidak dicuci dengan bersih dan dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran silang.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M Bawani berkata, pihaknya mengenakan dua kompaun ke atas pemilik premis yang bernilai RM100 setiap satu.

Katanya, dua lagi restoran nasi kandar di kawasan sama turut dikompaun masing-masing satu dan tiga kompaun.

“Pengendali makanan turut didapati tidak mengambil suntikan tifoid yang diwajibkan ke atas mereka.

“Kesemua kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM420,” katanya kepada media ketika ditemui sejurus selepas operasi, hari ini.

BAWANI (kiri) menemui najis masih melekat di bahagian kulit telur ayam yang direbus di restoran popular. FOTO Danial Saad.
BAWANI (kiri) menemui najis masih melekat di bahagian kulit telur ayam yang direbus di restoran popular. FOTO Danial Saad.

Selain itu operasi yang disertai lebih 10 anggota memeriksa kedai runcit yang turut dijadikan kedai makan dan sebuah restoran di laluan sama selain, sebuah restoran di Jalan Macalister.

Bawani berkata, premis berkenaan menerima notis penutupan selama 14 hari hingga 4 Mac depan, berikutan terdapat najis makhluk perosak di dapur dan tempat menyimpan makanan.

“Selepas dua minggu pemeriksaan semula akan dilakukan terhadap semua premis berkenaan sebagai langkah penambahbaikan,” katanya yang memberitahu kompaun RM500 dikenakan kerana menyalurkan sisa makanan ke parit awam.

Jelasnya, semua kesalahan dikenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil (Establishment Makanan) MBPP 1991.

Untuk rekod, 33 kompaun pelbagai kesalahan berjumlah RM3,500 sudah dikeluarkan sejak November 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 5:17 PM