ANTHONY tidak terima permohonan Rayani Air. FOTO BERNAMA
ANTHONY tidak terima permohonan Rayani Air. FOTO BERNAMA
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan daripada syarikat penerbangan Rayani Air untuk kembali beroperasi.

Menterinya Anthony Loke berkata, jika syarikat berkenaan berhasrat menyambung kembali perkhidmatan mereka, pihak kementerian terbuka menerimanya, namun perlu mematuhi syarat pengoperasian.

“Saya tidak sedar atau dimaklumkan ada permohonan daripada Rayani Air (beroperasi kembali) tetapi (jika benar) seperti biasa mereka perlu dapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Selagi tidak dapat kelulusan daripada dua agensi ini, (Rayani Air) tidak boleh beroperasi. Setakat ini status mereka saya tidak tahu,” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan di jambatan pejalan kaki baharu yang menghubungkan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) ke KTM Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air Ravi Alagendrran bahawa syarikat itu akan beroperasi kembali tahun ini.

Pada 30 Disember lalu, Ravi dalam catatan di laman Facebook beliau memaklumkan, syarikat penerbangan berkenaan bakal beroperasi kembali tahun ini dengan wajah baharu dan mengekalkan konsep patuh syariah.

Sementara itu, menurut sumber terdekat CAAM kepada Bernama semalam, syarikat penerbangan patuh syariah itu masih belum mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) bagi meneruskan semula operasinya di negara ini.

Pada Jun 2016, Sijil Pengendali Udara (AOC) Rayani Air dibatalkan selepas didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) termasuk kurang keupayaan daripada segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 3:27 PM