RAVI (tengah) bersama kakitangannya menunjukkan perkhidmatan penerbangan Rayani Air yang ditawarkan.
RAVI (tengah) bersama kakitangannya menunjukkan perkhidmatan penerbangan Rayani Air yang ditawarkan.

Kota Bharu: Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air), syarikat penerbangan berkonsep patuh syariah pertama di Malaysia membuktikan kemampuan apabila menerima lebih 50,000 penumpang sejak memulakan operasi pada 20 Disember tahun lalu.

Pengarah Eksekutifnya, Ravi Alegandrran menyifatkan penerimaan orang ramai terhadap perkhidmatannya di luar jangkaan walaupun sebelum ini wujud tohmahan terhadap konsep diguna pakai.

Beliau berkata, laluan Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Langkawi paling mendapat sambutan, selain tempahan untuk Kuala Lumpur-Kota Kinabalu yang akan beroperasi pada 28 Mac depan.

“Jika dilihat, kita sebenarnya masih bayi berbanding syarikat penerbangan lain kerana banyak perubahan perlu dibuat bagi menambah baik perkhidmatan, tambahan pula kita berkonsepkan penerbangan patuh syariah.

“Walaupun agak rumit untuk dilaksanakan, syarikat sentiasa mengadakan perbincangan dengan agensi tertentu bagi memastikan konsep ini sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa, sekali gus mengikut kehendak orang ramai,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kelmarin sempena program ramah mesra bersama media Kelantan.

Ravi berkata, pihaknya juga merancang mewujudkan hab pengangkutan Rayani Air di Kota Bharu pada April sempena Tahun Melawat Kelantan 2016.

“Secara tidak langsung, ia membantu mempromosikan syarikat sempena Tahun Melawat Kelantan 2016,” katanya.

Sementara itu, aktivis sukarelawan Kelantan, Raja Shamri Raja Husin, 40, berkata, beliau lebih 20 kali menggunakan perkhidmatan Rayani Air untuk ke Kuala Lumpur.

Katanya, selain harga tiket berpatutan, dia selesa dengan perkhidmatan patuh syariah syarikat itu dan layanan mesra untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 6:47 AM