KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Pulau Pinang mengedarkan poster larangan merokok di premis makanan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT), semalam.
KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Pulau Pinang mengedarkan poster larangan merokok di premis makanan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT), semalam.
Siti Azila Alias dan Noorazura Abdul Rahman


HARI pertama Op Larangan Merokok, kelmarin menyaksikan 24 kompaun dikeluarkan di Kedah dan 27 di Pulau Pinang terhadap pihak ingkar.

Notis itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, 19 kompaun ke atas perokok mengikut Perkara 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2014 kerana merokok di premis makanan yang menjadi kawasan larangan.

Katanya, seorang remaja bawah umur pula dikenakan kompaun mengikut Perkara 13(1) peraturan sama kerana kesalahan serupa.

“Seramai empat pemilik premis pula dikompaun mengikut Perkara 12(1)(a) selepas gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan semua Orang Kena Notis ini diberikan tempoh dua bulan untuk menjelaskan bayaran kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

“Bagi mereka yang melakukan kesalahan kali pertama akan diberikan pengurangan kadar bayaran RM150 daripada RM250, jika bayaran dijelaskan ikut tempoh.

“Bagi kesalahan kedua, nilai kompaun dikenakan RM250 tanpa sebarang pengurangan,” katanya ketika ditemui selepas Op Larangan Merokok di sini, semalam.

Dr Ismail berkata, hingga kelmarin 192 pemeriksaan dilakukan yang membabitkan 116 anggota penguat kuasa.

Dalam pada itu, di Pulau Pinang, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata, masih ada pihak yang tidak mengetahui mengenai larangan merokok di premis makanan.

“Pada hari pertama semalam (kelmarin) 27 notis kompaun dikeluarkan ke atas perokok tegar dengan Seberang Perai Tengah (SPT) paling ramai iaitu 12 orang, diikuti Timur Laut (6) dan Seberang Perai Utara (4),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:02 AM