Ramli Alwi menampal notis larangan merokok di restoran. FOTO/ Mohd Rafi Mamat
Ramli Alwi menampal notis larangan merokok di restoran. FOTO/ Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengeluarkan 186 notis kesalahan kepada perokok kerana melanggar penguatkuasaan larangan merokok yang berkuat kuasa, 1 Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Datuk Tok Muda berkata, keseluruhan nilai kompaun selama dua hari operasi terbabit berjumlah RM46,500.

Menurutnya, Lipis mencatat jumlah teramai individu dikenakan kompaun iaitu 41 diikuti Kuantan sebanyak 32, Bentong (25), Temerloh (19), Bera (17), Raub (13), Rompin (12), Pekan (11), Maran (8), Cameron Highlands (6) dan Jerantut (2).

Katanya, individu yang menerima notis kesalahan kerana kesalahan merokok di restoran dikenakan kompaun sebanyak RM250.

“Pihak yang melakukan kesalahan pertama boleh membuat rayuan dikurangkan kompaun kepada RM150 sekiranya bayaran dapat diselesaikan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh kompaun diterima.

“Namun, bagi kesalahan kedua tiada lagi pengurangan kompaun diberikan kepada perokok dan bayaran penuh sebanyak RM250 dikenakan.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan golongan perokok terus merokok di premis makanan hingga menimbul rasa tidak selesa pengunjung lain,” katanya, di Kuantan, hari ini.

Bahari berkata, kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi individu yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

“Individu yang gagal membayar kompaun dalam tempoh dua bulan dari tarikh notis dikeluarkan akan diambil tindakan mahkamah. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya.

Katanya, JKN Pahang meminta semua pihak terutama perokok supaya memberi kerjasama dan sentiasa mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat yang tidak merokok dapat dilindungi.

“Perokok perlu berada pada jarak lebih dari tiga meter dari premis makanan atau dari meja terakhir makanan dihidangkan.

“Bagi individu yang berhasrat untuk berhenti merokok mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan program bimbingan berhenti merokok atau mQuit yang disediakan secara percuma di klinik kesihatan terpilih dan hospital kerajaan di seluruh negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 10:22 AM