GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan kompaun bernilai RM1.275,250 kepada perokok yang merokok di kawasan larangan dalam tempoh Januari hingga September lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kompaun itu hasil daripada 5,386 notis kesalahan yang dikeluarkan hasil pemeriksaan di 20,809 premis di seluruh Terengganu.

Menurutnya, notis paling banyak dikeluarkan di daerah Kemaman membabitkan 854 notis diikuti Dungun (807), Hulu Terengganu (804), Kuala Terengganu (726), Besut (692), Setiu (633), Marang (476) dan Kuala Nerus (394).

"Kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah merokok di kawasan larangan iaitu sebanyak 3,465, tempat yang diwartakan (1,195), orang belum dewasa (485), tiada tanda larangan merokok (130) dan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan (36).

"Notis turut dikeluarkan atas kesalahan seperti jualan harga minimum rokok (28), penjual gagal mempamerkan tanda larangan (20), menjual, membeli atau memiliki rokok yang tidak dicetak teks larangan merokok (19) dan gagal memastikan tiada seorang yang merokok di dalam premis (lapan).

"Kesemua notis itu dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 membabitkan kompaun bernilai antara RM50 hingga RM500," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan penguatkuasaan untuk melindungi golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap dan wap produk rokok.

Katanya, setiap pesalah yang menerima notis dinasihatkan ke mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh dua minggu dan tidak lewat dua bulan daripada tarikh notis dikeluarkan untuk ditawarkan kompaun dan membuat bayaran.

"Larangan merokok bukan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelak komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 4:34 PM