NOOR Azam (dua dari kanan) dan Abdul Rahim (kanan) mengadakan mesyuarat pelarasan Program Titipan Kasih Kembali ke Sekolah Harian Metro-Milo 2019 di SK Undang, Marang. FOTO Malik Muhamad
NOOR Azam (dua dari kanan) dan Abdul Rahim (kanan) mengadakan mesyuarat pelarasan Program Titipan Kasih Kembali ke Sekolah Harian Metro-Milo 2019 di SK Undang, Marang. FOTO Malik Muhamad
Norizuan Shamsuddin dan Malik Muhamad


"KAMI amat menghargai program amal Titipan Kasih Kembali ke Sekolah Harian Metro dan berterima kasih kerana memilih sekolah kami sebagai tuan rumah bagi menjayakan program ini.

"Program ini sangat bermakna bagi pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) kerana dapat membantu meringankan beban ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak mereka bagi sesi 2020," kata Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Undang, Abdul Rahim Yusof berhubung program Titipan Kasih Kembali Ke Sekolah yang bakal berlangsung, Sabtu ini.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik usaha Harian Metro dengan kerjasama MILO melaksanakan program khidmat masyarakat bagi meringankan golongan asnaf dan anak yatim yang akan dilaksanakan di sekolah berkenaan.

Katanya, menerusi program terbabit, seramai 40 murid dari sekolahnya yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan terpilih menerima bantuan bagi perbelanjaan membeli kelengkapan persekolahan.

"Selain itu, ada juga murid asnaf daripada SK Bukit Payong, SK Paya Resak, SK Gong Balai, SK Rendang dan SK Merchang yang akan berkumpul di SK Undang untuk bersama dalam program ini bermula jam 8 pagi.

"Semua murid berkenaan akan dibawa ke pasar raya Mydin Kuala Terengganu untuk memilih sendiri kelengkapan persekolahan mereka seperti pakaian seragam, kasut beg dan alat tulis.

"Sudah pasti perkara ini memberi impak besar kepada ibu bapa murid berkenaan yang rata-ratanya berpendapatan rendah selain memberi semangat kepada murid untuk kembali ke sekolah dengan kelengkapan serba baharu yang pasti memberikan keselesaan untuk mereka belajar," katanya pada sesi mesyuarat penyelarasan program Titipan Kasih Kembali Ke Sekolah Harian Metro di SK Undang di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarang Berita Komersial Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz, PK HEM SK Paya Resak, Rosmadi Salleh dan Guru Penyelaras Kebajikan SK Bukit Payong, Anira Rashid.

Titipan Kasih Kembali ke Sekolah adalah program tanggungjawab sosial (CSR) akhbar Harian Metro yang bermatlamat membantu golongan yang memerlukan.

Menerusi program terbabit, seramai 150 penerima terdiri daripada anak yatim dan keluarga miskin iaitu asnaf akan diberi bantuan bagi membolehkan mereka membuat persiapan menjelang hari persekolahan bermula Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 5:15 AM