PEMIMPIN Islam dunia hadir di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO BERNAMA
PEMIMPIN Islam dunia hadir di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PARA pemimpin dan perwakilan Islam berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur hari ini untuk majlis pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019.

Pemimpin yang tiba di persidangan empat hari itu termasuk Emir Qatar Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Sidang kemuncak itu yang bertujuan menangani isu umat Islam dan mencari penyelesaian berkesan, bermula semalam dengan jamuan makan malam dihoskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di hotel terkemuka di sini, berhampiran KLCC.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual menyampaikan titah diraja, manakala Dr Mahathir yang juga Pengerusi sidang kemuncak berkenaan akan menyampaikan ucapan aluan pada majlis pembukaan itu.

Kira-kira 450 perwakilan termasuk pemimpin, pemikir, intelektual, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan dari 56 negara menghadiri sidang kemuncak bertemakan 'Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara'.

Perbincangan akan menumpukan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara; integriti dan tadbir urus yang baik; budaya dan identiti; keadilan dan kebebasan; keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan; serta teknologi dan tadbir urus internet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 11:50 AM