Fahmy Azril Rosli


KERAJAAN akan terus mencari dan mengheret lebih ramai ‘jerung besar’ yang terbabit dengan rasuah pada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia bukan kerja mudah kerana memerlukan bukti untuk mengheret mereka muka keadilan.

Menurutnya, selepas mempunyai bukti barulah mereka boleh dibawa ke mahkamah mengikut lunas undang-undang supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini proses itu agak sukar kerana kerajaan menghadapi kekangan daripada segi pegawai untuk menjalankan tugas terbabit.

“Akan ada ramai lagi orang akan diheret. Tetapi, sekarang kita terpaksa memberi fokus terhadap beberapa orang terlebih dahulu kerana kekurangan pegawai.

“Jadi, kita tidak boleh berurusan dengan ramai orang yang terbabit dengan rasuah pada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Buat masa sekarang, kita ‘kejar’ jerung besar terlebih dahulu. Tetapi untuk heret mereka, kena kumpul cukup bukti untuk heret ke mahkamah keadilan dan kemudiannya tindakan boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mapan di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:07 PM
DR Mahathir ketika sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mapan di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
DR Mahathir ketika sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mapan di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin