PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani bersempena dengan lawatan rasmi empat hari beliau di Qatar di Amiri Diwan, hari ini. FOTO BERNAMA
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani bersempena dengan lawatan rasmi empat hari beliau di Qatar di Amiri Diwan, hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Hussin


PERTEMUAN antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, semalam lebih tertumpu kepada perbincangan mengenai Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Perdana Menteri berkata, Sheikh Tamim sangat berminat dengan tujuan Sidang Kemuncak itu diadakan di Kuala Lumpur selama empat hari bermula 18 Disember ini.

“Emir (Sheikh Tamim) akan datang (di sidang kemuncak) dan akan memberi sumbangan (idea) yang banyak kerana cara beliau mentadbir negara Qatar lebih menumpukan soal pendidikan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas Majlis Makan Malam dengan diaspora Malaysia, malam tadi.

Sidang kemuncak berkenaan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) antara lain membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu terhadap masalah menimpa dunia Islam serta memperbaiki keadaan umat Islam dan negara Islam.

Persidangan itu juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula tamadun Islam.

Selain daripada Sheikh Tamim, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran Hassan Rouhani dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, dijangka menyertai persidangan itu.

Semalam, Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Sheikh Tamim di istananya di Doha bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk sidang kemuncak terbabit.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri Qatar yang diadakan semalam, Dr Mahathir berkata, ahli perniagaan di negara ini menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia.

“Mereka banyak bertanya dan menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia dan pada masa sama mahu ahli perniagaan Malaysia melakukan kerjasama dengan mereka,” katanya.

Dr Mahathir juga tertarik dengan Qatar yang mengutamakan soal pendidikan rakyatnya termasuk menjemput banyak universiti terkemuka di dunia untuk membuka cawangan di negara mereka.

“Dalam masa sama, mereka menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar melainkan mengenai agama dan beberapa bidang lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ketika Qatar dikenakan sekatan ekonomi oleh beberapa negara sejak 2017, negara itu mengatasi dengan cara mereka sendiri.

Katanya, sebagai contoh Qatar menceburi bidang ternakan lembu bagi mendapatkan susu walaupun negara itu tidak mempunyai rumput yang banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 8:34 AM