PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Eizairi Shamsudin
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Eizairi Shamsudin
Fahmy Azril Rosli


“SILA ambil tindakan terhadap siapa yang mendakwanya (dalam kes rasuah), jika beliau (Najib) boleh,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Itu ‘pelawaan’ Dr Mahathir kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung tuduhan dilemparkan bekas Presiden UMNO bahawa dakwaan terhadapnya berniat mahu membalas dendam.

Dr Mahathir menegaskan, pendakwaan ke atas Ahli Parlimen Pekan itu berdasarkan laporan yang diperolehi dari agensi tempatan dan antarabangsa.

“Najib membuatkan Malaysia menjadi ‘terkenal’ di mata dunia disebabkan amalan kleptokrasi dalam pentadbiran kerajaan dinaunginya dulu.

“Jika bebas daripada rasuah, beliau boleh ambil tindakan terhadap mereka (yang melaporkan) namun tidak boleh kerana pendakwaan dibuat berdasarkan laporan media antarabangsa dan agensi di sini.

“Sebenarnya, agensi berkenaan yang menjejaki aliran wang (RM2.6 bilion) berkenaan. Bila wang itu dipindahkan, bila masa isi cek, semua ada rekod,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mapan, hari ini.

Berikutan itu, Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada Najib untuk bercakap apa yang beliau suka.

Namun, katanya, terpulang juga kepada semua pihak sama ada mahu mempercayai kata-kata yang dijaja Najib atau sebaliknya.

“Kalau ada percaya beliau, anda dialu-alukan untuk percaya. Apa yang terjadi ada bukti yang cukup untuk mendakwa Najib.

“Lagipun, Arab Saudi pun cakap bahawa wang berkenaan bukan pemberian mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 2:57 PM