Buaya jantan sepanjang 3.35 meter diberikan gelaran 'Bujang Satok' yang berjaya ditangkap di Sungai Sarawak pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Buaya jantan sepanjang 3.35 meter diberikan gelaran 'Bujang Satok' yang berjaya ditangkap di Sungai Sarawak pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Kuching: Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menangkap seekor buaya jantan sepanjang 3.35 meter yang kerap muncul berhampiran kawasan Satok di Sungai Sarawak, pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton dalam kenyataannya hari ini berkata, buaya itu kerap muncul di tebing sungai masuk ke dalam perangkap besi dipasang pihaknya sejak lima hari lalu pada jam 8 pagi.

"Atas keselamatan penduduk yang kerap menggunakan laluan sungai serta mencari rezeki sekitarnya, maka pihak SFC bertindak memasang perangkap bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku," katanya.

Menurut Zolkipli, sejurus mengetahui reptilia ganas itu masuk perangkap dipasang maka sepasukan SFC dikerahkan ke tebing sungai bagi mengikat serta mengeluarkannya dari perangkap.

Pasukan SFC katanya, mengambil masa setengah jam bagi mengeluarkan reptilia berkenaan dari perangkap.

"Sejurus berjaya dikeluarkan dari dalam perangkap, buaya itu kemudiannya dihantar ke "Jong's Crocodile Farm" untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 3:57 PM