Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin menunjukan senapang buatan sendiri bakakuk dan senapang angin dalam sidang media di IPD Ranau, Ranau. FOTO Juwan Riduan
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin menunjukan senapang buatan sendiri bakakuk dan senapang angin dalam sidang media di IPD Ranau, Ranau. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Ranau: Lima lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti membuat dan menjual senjata api buatan sendiri ditahan dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bersama Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Semua lelaki berusia lingkungan 29 hingga 57 tahun itu ditahan bersama 20 laras senjata api jenis bakakuk, ginsuk, senapang angin dan senapang guli serta puluhan peluru hidup.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi SuperintendanSimiun Lomudin berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 30 tahun dilakukan pada 10 September lalu, di sebuah rumah di Kampung Kigiuk, di sini.

Katanya, sebaik ditahan polis berjaya merampas dua laras senjata api bersama 11 butir peluru hidup, 30 butir palet senapang angin dan peralatan membuat senjata api.

"Hasil daripada penahanan suspek, polis meneruskan operasi dengan menyerbu beberapa lagi lokasi sekitar daerah ini dan menahan empat lagi suspek.

"Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh laras bakakuk dan 11 laras senapang bersama peluru hidup dan palet senapang angin," katanya pada sidang media di IPD Ranau, hari ini.

Simiun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Simiun berkata, polis memandang serius isu pemilikan senjata api dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Katanya, siasatan awal mendapati pemilik senjata api memberi alasan pemilikan senjata api berkenaan digunakan untuk keselamatan tanaman dan memburu.

"Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan berkenaan pemilikan dan penggunaan senjata api buatan sendiri.

"Polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang melanggar undang-undang berkenaan. Begitu juga dengan mereka yang memiliki senjata berkenaan supaya menyerahkan kepada polis sebelum tindakan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 4:57 PM