Penduduk menaiki sampan menuju ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Nyatuh, Permaisuri. Foto Ghazali Kori
Penduduk menaiki sampan menuju ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Nyatuh, Permaisuri. Foto Ghazali Kori
Norizuan Shamsuddin

BANJIR di Terengganu bertambah buruk apabila tiga lagi daerah iaitu Marang, Kemaman dan Kuala Nerus turut dinaiki air.

Ia menjadikan tujuh daerah di negeri itu dilanda banjir termasuk Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun.

Berdasarkan laporan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemaskini pada jam 12.30 tengah malam tadi, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 4,578 orang membabitkan 1,296 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,583 mangsa daripada 403 keluarga yang dicatatkan pada 6 petang semalam.

Sebanyak 97 PPS dibuka setakat ini berbanding 31 PPS dicatatkan semalam.

Di Kuala Nerus, seramai 15 mangsa membabitkan tiga keluarga dipindahkan di dua PPS yang dibuka di Surau Kampung Mak Jintan dan Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Belara.

Kemaman pula mencatatkan seramai 114 mangsa daripada 31 keluarga dipindahkan di dua PPS yang dibuka di Balai Raya Padang Kubu dan Masjid Sungai Emas.

Di Marang pula mencatatkan seramai 71 mangsa daripada 16 keluarga dipindahkan di dua PPS yang dibuka di Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai dan SK Rusila.

Daerah Besut mencatatkan paling ramai mangsa iaitu membabitkan 1,611 orang membabitkan 427 keluarga ditempatkan di 40 PPS.

Hulu Terengganu mencatatkan seramai 1,371 mangsa daripada 407 keluarga dipindahkan ke 28 PPS dan Setiu pula mencatatkan 1,269 mangsa daripada 378 keluarga ditempatkan di 22 PPS manakala di Dungun seramai 313 mangsa daripada 88 keluarga berada di enam PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 2:04 AM