Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Semua lapan daerah di Terengganu dilanda menerusi banjir gelombang kelima yang bermula semalam.

Ia susulan pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus petang tadi.

Sehingga jam 10 malam, seramai 3,813 mangsa daripada 1,103 keluarga ditempatkan di 81 PPS di seluruh Terengganu.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding seramai 3,434 mangsa daripada 985 keluarga di 67 PPS, jam 4 petang tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, jumlah mangsa banjir di Kemaman menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 1,920 mangsa daripada 512 keluarga ditempatkan di 21 PPS.

Sebelum ini, seramai 1,995 mangsa daripada 539 keluarga berada di 21 PPS.

Daerah Hulu Terengganu merekodkan jumlah mangsa kedua tertinggi apabila 250 keluarga membabitkan 651 mangsa berada di 14 PPS.

Sebanyak 17 PPS dibuka di Setiu bagi menempatkan 530 mangsa daripada 165 keluarga.

Di Dungun, enam PPS diaktifkan bagi menempatkan seramai 107 mangsa daripada 30 keluarga manakala 97 keluarga membabitkan 433 mangsa dipindahkan ke 16 PPS di Besut.

Sementara itu, seramai 121 mangsa daripada 38 mangsa ditempatkan di empat PPS di Kuala Nerus.

Daerah Kuala Terengganu dan Marang masing-masing mengaktifkan dua PPS dan satu PPS.

Di Kuala Terengganu, 46 mangsa daripada 10 keluarga terjejas manakala lima mangsa daripada satu keluarga dipindahkan di Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 11:05 PM
PENDUDUK di Kampung Buloh, Setiu melihat keadaan air yang memenuhi kawasan kediaman mereka. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
PENDUDUK di Kampung Buloh, Setiu melihat keadaan air yang memenuhi kawasan kediaman mereka. FOTO Zatul Iffah Zolkiply