PENIAGA, Fatimah Yasim, 57, mengalihkan peralatan selepas kedainya di Kampung Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu, ditenggelami air. FOTO Ghazali Kori.
PENIAGA, Fatimah Yasim, 57, mengalihkan peralatan selepas kedainya di Kampung Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu, ditenggelami air. FOTO Ghazali Kori.
Norizuan Shamsuddin


CUACA baik pada hari ini menyaksikan jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 2,852 individu daripada 789 keluarga di 60 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

Berdasarkan laporan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemaskini pada 6 petang hari ini, Besut masih mencatatkan mangsa paling ramai membabitkan 958 individu daripada 271 keluarga berada di 23 PPS yang dibuka di daerah berkenaan.

Setiu pula mencatatkan 974 mangsa membabitkan 261 keluarga ditempatkan di 20 PPS.

Kuala Nerus membabitkan 333 individu daripada 99 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Sementara di Hulu Terengganu mencatatkan penurunan ketara apabila seramai 279 mangsa daripada 79 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Di Dungun terdapat 207 mangsa daripada 51 keluarga berada di enam PPS yang dibuka di daerah berkenaan.

Manakala di Marang mencatatkan 34 mangsa daripada tujuh keluarga masih tinggal di lima PPS.

Di Kuala Terengganu pula, seramai 67 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Banggol yang dibuka hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 8:25 PM