ANGGOTA bomba membantu menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam banjir di Kampung Paya Besar, Kuala Berang malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
ANGGOTA bomba membantu menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam banjir di Kampung Paya Besar, Kuala Berang malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus menunjukkan peningkatan.

Setakat jam 12 tengah hari, seramai 13,530 mangsa daripada 3,757 keluarga kini berada di 173 PPS.

Ia menyaksikan pertambahan berbanding hanya seramai 11,137 orang daripada 3,177 keluarga dipindahkan ke 157 PPS pada jam 8 pagi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 3,857 mangsa daripada 1,062 keluarga terjejas di Kemaman.

Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi akibat bencana banjir dengan kesemua mangsa ditempatkan di 23 PPS.

Ia diikuti Hulu Terengganu yang merekodkan seramai 3,537 mangsa daripada 994 keluarga dipindahkan ke 31 PPS.

Di Besut, sebanyak 539 keluarga membabitkan 2,251 mangsa kini berada di 45 PPS.

Sementara itu, 30 PPS dibuka di Setiu bagi menempatkan 400 keluarga membabitkan 1,298 mangsa.

Jumlah mangsa di Dungun juga bertambah kepada 1,572 yang ditempatkan di 26 PPS.

Peningkatan mangsa banjir turut berlaku di Kuala Nerus apabila 125 keluarga membabitkan 418 mangsa dipindahkan lapan PPS.

Sembilan PPS diaktifkan di Kuala Terengganu bagi menempatkan seramai 592 orang daripada 157 keluarga sementara di lima beranak masih berada di satu PPS di Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 1:14 PM