Anggota JBPM Terengganu membantu menyelamatkan sebahagian 40 ahli keluarga Pertubuhan Armada Malaysia melakukan aktiviti riadah di Taman Rekreasi Kem Budi, Belukar Bukit di Hulu Terengganu, semalam. Foto Ghazali Kori
Anggota JBPM Terengganu membantu menyelamatkan sebahagian 40 ahli keluarga Pertubuhan Armada Malaysia melakukan aktiviti riadah di Taman Rekreasi Kem Budi, Belukar Bukit di Hulu Terengganu, semalam. Foto Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 17,742 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri itu pagi hari ini, berbanding 15,398 orang pada malam tadi.

Ia menyaksikan 141 PPS dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa daripada 4,557 keluarga.

Pada malam tadi, dilaporkan sebanyak 3,965 keluarga ditempatkan di 139 PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi yang terjejas menerusi bah yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu.

Ketika ini, seramai 8,027 mangsa daripada 2,055 keluarga berada di 27 PPS di Kemaman.

Di Hulu Terengganu, sebanyak 801 keluarga membabitkan 3,700 mangsa dipindahkan ke 21 PPS.

Mangsa banjir di Dungun pula merekodkan seramai 2,988 orang daripada 873 keluarga berada di 29 PPS.

Di Besut, sebanyak 242 keluarga membabitkan 908 mangsa ditempatkan di 26 PPS, manakala 21 PPS masih dibuka di Setiu bagi menempatkan 848 mangsa daripada 252 keluarga.

Sembilan PPS juga diaktifkan di Kuala Terengganu dengan 728 mangsa daripada 188 keluarga masih berada di PPS berkenaan.

Di Kuala Nerus pula, seramai 538 mangsa yang terjejas dipindahkan ke tujuh PPS, manakala di Marang, tiada pertambahan mangsa direkodkan dengan lima beranak berada di sebuah PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 8:45 AM