PATUNG Dora The Explorer dan Ken antara ditemui dalam lubang kumbahan. FOTO Agensi
PATUNG Dora The Explorer dan Ken antara ditemui dalam lubang kumbahan. FOTO Agensi
Agensi

London: Patung Dora The Explorer dan pasangan Barbie, Ken antara barangan paling luar biasa ditemui dalam sistem pembetungan kendalian syarikat rawatan air terbesar di Britain.

United Press International (UPI) melaporkan, Severn Trent yang menyediakan perkhidmatan air ke wilayah termasuk Midlands, Bristol, pinggir Sheffield serta utara dan pertengahan Wales, mengeluarkan senarai 'perkara paling aneh dan lucu yang masuk ke dalam sistem pembetung.'

Mainan termasuk Dora dan anak patung Ken antara yang ditemui, diikuti kepingan bangsal taman, gigi palsu, seluar dalam, rangka katil yang dipotong dan sepasang cermin mata.

Barangan luar lain yang ditemui dalam ruang kumbahan termasuk dompet, kunci dan tayar kereta.

Pengurus Pembetung Severn Trent, Grant Mitchell, berkata, sepatutnya barangan terutama yang besar tidak dibuang dalam sistem pembetungan.

Namun, katanya, penemuan itu cukup menghiburkan pekerja.

"Barang sering ditemui yang menyebabkan laluan air tersumbat adalah kain lap, lampin serta produk sanitari.

"Apa pun, kami menggesa orang ramai untuk mengingati bahawa hanya tiga P (pee, poo and paper) sahaja patut dibuang dalam tandas bukan memasukkan segala sampah sesuka hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 12:48 PM