FAHMI ditemui media selepas Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.
FAHMI ditemui media selepas Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Redzuan Muharam dan Siti Norhidayah Yunus


Kuala Lumpur: "Individu terbabit sudah ditahan, kita serahkan kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia)," kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau mengulas mengenai kes penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Menurutnya, kementerian menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan sepenuhnya dan jika terbukti bersalah, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membawa kes itu ke mahkamah untuk diadili mengikut proses undang-undang.

"Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sahkan ia (penggunaan gambar Agong) bukan sebahagian kempen kedua-dua pihak," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di sini, hari ini.

Semalam, dua individu direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penggunaan gambar Agong disyaki dengan niat menghina pada kempen PRK Dun Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dilapor berkata, individu berkenaan ditahan selepas didapati meletak gambar Sultan Ibrahim dan Anwar di atas kenderaan yang membawa sepanduk dan di belakangnya tertera bendera PH.

Dua individu berusia 60-an, sebuah pacuan empat roda dirampas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 11:57 AM