PERKHIDMATAN MRT menjadi pencetus  era baru pengangkutan awam. FOTO Khairull Azry Bidin.
PERKHIDMATAN MRT menjadi pencetus era baru pengangkutan awam. FOTO Khairull Azry Bidin.
Nor Afzan Mohamad Yusof

Kuala Lumpur: Program Transformasi Negara menerusi Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar, bukan saja mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam negara tetapi turut mengambil kira kualiti perkhidmatan ditawarkan kepada pengguna.

Pengangkutan awam bandar antara lain membabitkan Perkhidmatan Transit Rel Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), komuter, bas dan teksi mencatat purata penumpang 1.21 juta sehari.

Malah, indeks kepuasan pelanggan menunjukkan peningkatan daripada 84 peratus pada 2016 kepada 90 peratus tahun lalu.

Pengguna teksi dan perkhidmatan e-panggilan, Khadijah Yusof, 42, berkata, kualiti perkhidmatan pengangkutan awam meningkat berikutan keprihatinan kerajaan membantu rakyat.

Katanya, walaupun memandu sendiri, tetapi pada lokasi tertentu khususnya di bandaraya, dia memilih menggunakan perkhidmatan teksi dan perkhidmatan e-panggilan yang lebih menjimatkan kos dan masa.

“Walaupun persaingan antara teksi dan e-panggilan wujud, saya melihat persaingan itu sihat apabila masing-masing memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” katanya.

KEMUDAHAN tersedia menjimatkan kos, masa pengguna untuk bergerak ke lokasi diingini. FOTO Aswadi Alias.
KEMUDAHAN tersedia menjimatkan kos, masa pengguna untuk bergerak ke lokasi diingini. FOTO Aswadi Alias.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Teksi Bumiputera Malaysia (PERBUMI) Datuk Mohd Alias Abdul berkata, kerjasama perkongsian perjalanan antara teksi dan e-panggilan perlu segera dilaksana dalam usaha membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan itu.

“Jalinan kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak memperoleh manfaat dan ia perlu dipercepatkan dalam usaha membantu industri,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu turut dilihat menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TITP) apabila sebanyak 2,460 lesen baharu teksi perseorangan diluluskan dan perkongsian perjalanan ditetapkan bagi membolehkan perkhidmatan teksi dan perkhidmatan e-panggilan diwujudkan bersama.

Bagi Presiden Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM), Jasmi Shafie, sebagai pengguna setia pengangkutan awam khususnya bas, beliau berpuas hati apabila kualiti perkhidmatan ditawarkan memenuhi keperluan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.

Beliau gembira dengan pertambahan jumlah bas jenis hidraulik yang mempunyai ciri-ciri mesra OKU misalnya punat loceng yang rendah.

“Saya berpendapat untuk menambah baik perkhidmatan bas, penyusunan semula destinasi rangkaian bas henti-henti perlu dilaksana.

“Ini termasuk menambah laluan baru untuk destinasi diingini pengguna,” katanya.

Bagi menambah baik perkhidmatan bas, antara pencapaian dilakukan kerajaan ialah menyediakan perkhidmatan 11 operator bas henti-henti dengan 348 laluan sehari. Ia berupaya meningkatkan 20.4 peratus liputan atau daripada 7,643 kilometer (km) kepada 9,202 km.

Untuk kemudahan pengguna,4,547 panel maklumat bas dipasang bagi memberi maklumat mengenai laluan dan jadual bas selain lapan hab terminal dalam bandar dibangunkan bagi menyatupadukan pelbagai jenis pengangkutan awam.

PENGANGKUTAN cekap dapat mengatasi masalah  kepadatan penduduk tinggi dan kesesakan jalan raya. FOTO Mohd Yusni Ariffin
PENGANGKUTAN cekap dapat mengatasi masalah kepadatan penduduk tinggi dan kesesakan jalan raya. FOTO Mohd Yusni Ariffin

34 juta penumpang naik MRT sejak 2016

Sejak beroperasi bermula Disember 2016 hingga Mac lalu, Transit Aliran Massa (MRT) merekodkan 34,360,000 penumpang.

Bahagian Komunikasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melaporkan, jumlah purata harian penumpang pada hari bekerja bagi tempoh Januari hingga Mac lalu ialah seramai 142,000 orang sehari.

MRT dengan laluan 51 kilometer (km) bagi laluan antara Sungai Buloh dan Kajang (SBK) berupaya mengurangkan penggunaan 160,000 kenderaan di Lembah Klang.

Jurucakap RapidKL, Azhar Ghazali berkata, rekod penumpang menunjukkan penerimaan positif pengguna terhadap pengangkutan awam MRT dalam jajaran SBK.

Katanya, pembinaan stesen di kawasan strategik antara faktor perkhidmatan itu menjadi pilihan.

“Kemudahan letak kenderaan serta bas perantara turut menjadi faktor ramai pengguna memilih MRT,” katanya.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma berkata, MRT antara kemudahan pengangkutan awam diperlukan khususnya di kawasan mempunyai kepadatan penduduk tinggi, selain masalah kesesakan jalan raya.

Katanya, pembinaannya dalam laluan bersesuaian menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kualiti hidup dan kos hidup rakyat.

“Kemudahan seperti MRT ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan.

“Pembinaan itu turut membabitkan jaringan integrasi pengangkutan awam berasaskan rel dengan sistem transit aliran ringan (LRT), monorel, KTM Komuter, KLIA Ekspres dan KLIA Transit,” katanya.

Madeline berkata, sebagai pengguna, beliau melihat ia bukan saja memudahkan tetapi mempercepat perjalanan penduduk kota yang sentiasa berhadapan dengan kesesakan lalu-lintas dan kos pengangkutan tinggi.

“Jaringan berintegrasi ini berupaya mewujudkan perkhidmatan berkualiti, meningkatkan kecekapan dan menaik taraf perkhidmatan awam di bandar utama,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu terus mempromosi penggunaan perkhidmatan itu supaya lebih ramai kalangan rakyat mendapat manfaat.

“Selain melakukan promosi secara besar-besaran dan memperluaskan jaringan, pengenalan ‘kad kesetiaan’ boleh diperkenalkan sebagai insentif kepada pengguna yang setia,” katanya.

Bagi pengguna setia MRT, Norizah Nadira Mohd Rahmat, 28, dia memilih perkhidmatan itu kerana ia menjimatkan masa dan wang.

Dia yang menetap di Damansara berkata, secara purata tambang dibayar hanyalah RM7.40 sehari berbanding memandu kenderaan sendiri yang boleh menelan kos sehingga RM20 sehari.

“MRT lebih jimat dan praktikal. Sejak menggunakan kemudahan ini kira-kira setahun lalu, saya dapat berjimat masa, petrol, tol dan caj meletakkan kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 6:29 AM