JARAH melihat keadaan Hamzah yang hilang penglihatan secara tiba-tiba.
JARAH melihat keadaan Hamzah yang hilang penglihatan secara tiba-tiba.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Seorang warga emas dari Kampung Palas Merah di sini, terpaksa meneruskan kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) apabila hilang deria penglihatan secara tiba-tiba sejak setahun lalu.

Lebih menyedihkan, Hamzah Awang, 75, yang turut mengalami bengkak sendi hanya mampu mengesot dan memegang tali untuk ke tandas di luar rumah.

Dia tinggal bersama isteri, Jarah Saleh, 72, dan seorang anak mengalami masalah lembam, Mazlan, 36, di rumah bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak lapan tahun lalu.

Jarah berkata, pada mulanya Hamzah mengadu penglihatannya kabur sebelum terus tidak dapat melihat.

“Kami tidak merujuk ke hospital kerana kekangan kewangan ditambah keadaannya yang sangat uzur dan kami tidak mahu membebankan sesiapa,” katanya.

Katanya, dia sebak setiap kali melihat suaminya meraba-raba sambil mengesot untuk ke dapur atau tandas.

AHLI Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kampung Kajang Sebidang bersama penduduk kampung membantu mengangkat Hamzah  untuk membersihkan rumahnya yang  tidak terurus.
AHLI Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kampung Kajang Sebidang bersama penduduk kampung membantu mengangkat Hamzah untuk membersihkan rumahnya yang tidak terurus.

“Disebabkan masih belum dapat biasakan diri, dia sering bertanya jarak dapur dan tandas.

“Saya terpaksa menyediakan tali yang diikat pada dinding sebagai panduan untuknya ke tandas di luar rumah. Saya tidak mampu beli lampin pakai buang kerana hanya bergantung bantuan bulanan RM300 Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kampung Kajang Sebidang diketuai Presidennya, Syaharudin Mohd Nor.

Dalam kunjungan itu, Syaharudin menyampaikan sumbangan makanan harian dan barang kelengkapan serta membantu membersihkan rumah mereka.

Syaharudin berkata, bantuan itu sumbangan daripada penderma diagihkan kepada asnaf yang layak.

“Kami juga akan berusaha mendapatkan dana daripada badan korporat supaya dapat memberikan bantuan bulanan kepada mereka yang memerlukan termasuk keluarga Hamzah,” katanya.

SUKARELAWAN membersihkan rumah warga emas.
SUKARELAWAN membersihkan rumah warga emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 6:10 AM