ANGGOTA sukarelawan NGO turut membantu memandikan Azuan dan diberikan pakaian bersih.
ANGGOTA sukarelawan NGO turut membantu memandikan Azuan dan diberikan pakaian bersih.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif sendiri membersihkan kediaman tiga pesakit mental di Kampung Bendang Pak Yong dan Kubang Sawa di sini, yang dipenuhi sampah-sarap, kelmarin.

Bukan itu saja, mereka turut memandikan pesakit mental yang berada dalam keadaan tidak terurus.

Usaha itu dilakukan NGO Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kampung Kajang Sebidang yang simpati dengan nasib tiga pesakit mental itu.

Wakil NGO, Ariffin Awang Chik berkata, pihaknya juga menguruskan ketiga-tiga pesakit mental iaitu Azuan Adam, 43, Abdul Aziz Safein, 45, dan Wan Hafsah Che Awan, 40, untuk dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.

“Kami sangat bersimpati dengan nasib mereka iaitu dua daripada mereka hidup sebatang kara dan tidak terurus manakala seorang lagi warisnya tidak dapat menguruskannya.

SUKARELAWAN NGO bergotong-royong membersihkan bilik Azuan yang dipenuhi sampah di Kampung Kubang Sawa.
SUKARELAWAN NGO bergotong-royong membersihkan bilik Azuan yang dipenuhi sampah di Kampung Kubang Sawa.

“Mereka sudah beberapa kali dirujuk kepada Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan dibenarkan pulang sebaik keadaan mereka dilaporkan baik namun masalah mental mereka kembali berulang.

“Ada yang mengamuk, cuba bertindak kasar kepada penjaga dan paling merisaukan kami adalah Wan Hafsah yang sering keluar merayau tanpa berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Sawa.

Sementara itu, seorang penjaga, Mek Deraman, 65, berkata, dia sangat berbesar hati dengan usaha NGO berkenaan termasuk ingin meletakkan anak angkatnya (Azuan) ke hospital.

“Biarpun berat hati, tetapi saya reda. Saya kini semakin uzur dan bimbang jika umur tidak lama, siapa yang akan menguruskan Azuan nanti.

“Saya juga risaukan keselamatan diri dan orang ramai kerana pernah beberapa kali Azuan mengamuk serta mencederakan penduduk kampung malah saya sendiri diacukan pisau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 6:01 AM