Hasbi Sidek


REMAJA lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, 7 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan mengadu pening kepala kepada bapanya.

Beliau berkata, bapa mangsa yang baru sahaja tiba di kediaman mereka di tingkat sama masuk ke tandas sebelum terkejut apabila terdengar bunyi dentuman pintu.

“Ketika bapa mangsa tiba di rumah mereka, remaja berusia 15 tahun itu mengadu pening kepala. Bapanya meminta remaja itu supaya tidur sebelum beredar ke tandas.

“Secara tiba-tiba lelaki berusia 48 tahun itu terdengar bunyi pintu berdentum kuat dan mendapati isterinya masuk ke rumah secara tergesa-gesa sebelum memaklumkan anak mereka terjatuh ke tingkat bawah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

MANGSA ditemui terbaring selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah PPR di Kota Damansara, Petaling Jaya, malam tadi. FOTO ihsan polis.
MANGSA ditemui terbaring selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah PPR di Kota Damansara, Petaling Jaya, malam tadi. FOTO ihsan polis.

Mohd Zani berkata, lelaki itu kemudiannya bergegas turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan anaknya dan mendapati kepala mangsa pecah serta dipenuhi darah.

Beliau berkata, bapa mangsa segera menghantar anaknya ke Hospital Sungai Buloh, namun doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia di wad kecemasan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sudah tiga hari mengalami demam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 12:12 AM