Siraj Mohd Zaini


EJEN hartanah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Klang, hari ini, atas tuduhan melakukan penipuan pelaburan hartanah berjumlah RM200,000 pada April lalu.

Tertuduh, Ng Swee Bee, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki bahawa syarikatnya menawarkan pelaburan hartanah serta mendorong mangsa menyerahkan cek berjumlah RM200,000 kepadanya.

Kesalahan dilakukan di sebuah firma guaman di Jalan Goh Hock Huat, Klang pada 11 April lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ermadieyani Ismadi menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh namun, tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM4,000 dengan alasan dia bekerjasama dengan baik sepanjang siasatan.

Roslizi kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan kes disebut semula pada 22 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:07 PM