Norrasyidah Arshad


PENIAGA dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 876 batang rokok seludup pelbagai jenama berjumlah RM90.24, awal Januari lalu.

Majistret Roslizi Sulaiman menjatuhi hukuman itu sebaik Sabri Ikhsan, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh yang berasal dari Aceh, Indonesia itu diperintah menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 4 Januari lalu.

Roslizi turut berdepan tambahan penjara dua hari sekiranya gagal membayar duti import berjumlah RM175.20 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pembayaran denda duti import itu adalah kali pertama dikenakan terhadap pesalah di Selangor selepas pindaan Akta Kastam dilakukan tahun ini.

Mengikut pertuduhan, Sabri didakwa memiliki 400 batang rokok U2, 140 batang rokok Luffman dan 336 batang rokok Gudang Garam.

Kesalahan itu dilakukan jam 11.02 pagi di premis perniagaan Junaidah Maju Entreprise, Kampung Delek Kanan, Klang, 4 Januari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mohd Nafizi Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Rajvinder Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 3:18 PM