BUMBUNG parkir yang runtuh menghempap 12 kenderaan di pangsapuri di Taman Seroja, hari ini. FOTO Ihsan Penduduk.
BUMBUNG parkir yang runtuh menghempap 12 kenderaan di pangsapuri di Taman Seroja, hari ini. FOTO Ihsan Penduduk.
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA belas kenderaan rosak selepas bumbung tempat letak kereta di sebuah pangsapuri di Taman Seroja, Tampoi, runtuh, hari ini.

Ia berikutan hujan lebat dan angin kencang yang melanda daerah itu.

Penduduk, S Kunasegaran, 36, berkata, ketika kejadian kira-kira 9 pagi, dia berada di dalam rumah dan sedang bersiap untuk ke tempat kerja.

“Mulanya, hujan biasa sahaja, kemudian angin kencang dan hujan mulai lebat. Saya ada mendengar bunyi yang kuat selepas itu tetapi tidak terfikir bumbung parkir runtuh.

“Ketika saya ke tempat letak kereta itu untuk ke tempat kerja, terkejut melihat bumbung parkir sudah runtuh dan menghempap lebih 10 kenderaan di bawahnya.

“Saya lega kerana kereta saya tidak terjejas dan berada 0.5 meter sahaja daripada runtuhan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut jurutera itu, dia kemudian mengambil gambar keadaan bumbung dan kenderaan penduduk yang terjejas sebelum menghantar gambar terbabit dalam kumpulan WhatsApp penduduk pangsapuri.

“Kemudian seorang demi seorang pemilik kenderaan datang ke parkir untuk melihat kenderaan mereka dan kenderaan yang tidak terjejas, diarah alihkan ke parkir pelawat untuk seketika,” katanya.

Kunasegaran berkata, dia difahamkan pengurusan pangsapuri menghubungi pemaju dan memanggil kontraktor bagi mengalihkan runtuhan berkenaan.

Dia mengakui itu kejadian pertama dihadapi sejak tinggal di pangsapuri itu, lebih tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:48 PM