KENDERAAN yang terjejas akibat bumbung runtuh. FOTO Amniera Naziera Amran
KENDERAAN yang terjejas akibat bumbung runtuh. FOTO Amniera Naziera Amran
Junaidi Ladjana


SEMBILAN kereta di tempat letak kenderaan Jabatan Laut Sabah di Sepanggar, Kota Kinabalu, terjejas selepas bumbung garaj berkenaan runtuh akibat angin kencang, 9.30 pagi, hari ini.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua pemilik kereta berada di dalam bangunan jabatan berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, lebih 20 kereta kakitangan jabatan berkenaan di kawasan berkenaan.

Seorang kakitangan jabatan berkenaan yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia berada di luar bangunan dan keadaan angin kuat sehingga ada bumbung mula tertanggal.

"Tidak lama selepas itu, saya terdengar dentuman kuat dan terkejut apabila bumbung garaj runtuh.

"Saya dan beberapa kakitangan jabatan segera memeriksa dan mendapati ada beberapa kereta terjejas akibat terkena bumbung yang runtuh," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun katanya, kereta miliknya di kawasan itu tidak mengalami kerosakan.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamata (BBP) Kota Kinabalu berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.15 pagi, sebuah kenderan dengan kekuatan empat anggota dikerah ke lokasi kejadian.

"Anggota kini sedang menjalankan pemantauan di lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 1:32 PM