KON dan kerusi yang dijadikan tanda parkir kepunyaan penduduk tertentu. FOTO Natrah Laili Abdul Aziz.
KON dan kerusi yang dijadikan tanda parkir kepunyaan penduduk tertentu. FOTO Natrah Laili Abdul Aziz.
Anis Syuhada Mohd Rosli dan Natrah Laili Abdul Aziz dan Mohamad Ashyiq Haqimi


Kuala Lumpur: Tidak prihatin dan mementingkan diri sendiri. Itu sikap sesetengah penduduk flat dan pangsapuri di ibu negara yang tergamak 'cop' parkir awam sebagai kepunyaan mereka.

Tindakan golongan itu meletakkan kon atau sebarang objek yang boleh dijadikan tanda tempat letak kenderaan hak mereka, nyata menjengkelkan penduduk lain, bahkan ia sudah berlarutan bertahun lamanya di sesetengah tempat.

Penduduk Flat Taman Bukit Angkasa, Syuhada Yusof, 35, berkata, isu berkenaan seperti masalah yang tidak pernah selesai kerana tiada langkah berkesan menanganinya, meskipun sudah diaju kepada pihak pengurusan.

Dia yang sudah 30 tahun menetap di situ mendakwa, penduduk lama flat ada parkir 'khas' yang mana mereka tidak perlu berebut dengan orang lain dan lebih berani meletakkan tanda kerana status selaku penghuni asal.

"Selalunya penduduk yang baru berpindah ke kawasan ini menjadi mangsa keadaan kerana mereka tidak tahu 'konsep' parkir diamalkan penduduk lama.

"Saya pernah melihat kereta penduduk digores, ada yang tayarnya dipancitkan serta diletakkan sampah di atas bumbung kerana mengalihkan kon yang menandakan tempat letak kereta penghuni tertentu," katanya ketika ditemui.

Mohd Firdaus, 29, turut sependapat dengan memaklumkan dia pernah ditegur kerana mengalihkan kon tempat letak kenderaan penghuni flat.

"Saya akur kerana takut terima kesan buruk. Namun isu 'cop' parkir ini jelas menunjukkan individu pentingkan diri.

"Ia tindakan yang menyusahkan ramai pihak sedangkan tempat letak kenderaan yang tersedia adalah terbuka untuk semua penduduk," katanya.

Penduduk Flat Seksyen 10 Wangsa Maju, Arshad Ayop, 37, pula menyifatkan wajar bagi penduduk yang mempunyai ahli keluarga istimewa untuk mempunyai tempat letak kenderaan mereka sendiri.

"Jika yang 'cop' parkir tu ada ahli keluarga yang orang kurang upaya (OKU) wajar diterima kerana saya simpati dengan mereka yang terpaksa berjalan jauh dan sebagainya.

"Bagaimanapun, sekiranya tindakan dilakukan oleh penduduk yang mempunyai banyak kenderaan... 'cop' sampai dua tiga tempat.. ia tidak wajar dan harus dielakkan.

"Kena fikirlah juga keselesaan orang (penghuni) lain," katanya yang memaklumkan penduduk seharusnya mempunyai sikap bertolak ansur antara satu sama lain untuk kejiranan yang harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 1:33 AM