Hadzlihady Hassan


GELAP mata dengan tawaran lumayan dijanjikan sindiket skim cepat kaya, membuatkan seorang operator kilang di Kepala Batas kerugian RM40,000.

Mangsa, wanita berusia 37 tahun pada mulanya melihat iklan pelaburan dipaparkan di Facebook (FB) awal September lalu yang menjanjikan keuntungan dalam masa singkat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang tertarik dengan pelaburan itu berhubung dengan seorang individu dalam aplikasi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut berhubung skim pelaburan yang ditawarkan.

“Mangsa kemudian diberikan nombor telefon seorang lelaki yang juga mendakwa ejen sebuah syarikat dikenali sebagai GenesisBusiness.

“Dalam perbualan telefon itu, ejen terbabit memberitahu yang syarikat mereka memang diakui dan sudah membantu ramai orang yang mengalami masalah kewangan dalam tempoh singkat,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa yang termakan dengan pujuk rayu ketika berbual dalam telefon itu pada mulanya bersetuju membuat pelaburan RM5,000, namun dia dipujuk supaya menambah wang sekiranya mahu mendapatkan untung lebih banyak.

“Mangsa akhirnya mengikut kata-kata sindiket dan dia kemudian membuat pelaburan sebanyak RM40,000 dengan melakukan sembilan transaksi bermula 18 September hingga 26 September lalu.

“Dia dijanjikan akan mendapat keuntungan pelaburan mencecah RM100,000 dan wang itu akan dibayar dalam tempoh terdekat,” katanya,

Menurutnya, mangsa mula curiga apabila sindiket terbabit meminta dia membuat bayaran tambahan selain memberikan pelbagai alasan ketika ditanya mengenai pulangan pelaburan yang dibuatnya sebelum itu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Berikutan itu, polis kini sedang menjalankan siasatan untuk mengesan maklumat akaun suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 12:23 PM