Hadzlihady Hassan


TERUJA dengan tawaran dijanjikan, seorang wanita warga emas di Kepala Batas, kerugian RM49,000 selepas ditipu sindiket cabutan bertuah, sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 75 tahun didatangi sindiket itu beberapa kali di rumahnya yang menawarkan hadiah lumayan dalam cabutan bertuah.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun itu, mangsa sudah didatangi sindiket sebanyak empat kali dan dia akan dibawa ke bank untuk mengeluarkan wang yang seterusnya diserahkan kepada sindiket.

“Mangsa menyerahkan wang berjumlah RM49,000 secara berperingkat dan sindiket berkenaan berjanji akan memulangkan semula wangnya itu.

“Mangsa kali terakhir menyerahkan wang kepada sindiket terbabit pada hujung Mac lalu, namun dia curiga serta takut selepas kerap dihubungi mereka,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa yang bimbang kemudian menceritakan kejadian itu kepada anaknya, kelmarin dan dibawa membuat laporan polis.

“Sejurus laporan dilakukan, mangsa sekali lagi didatangi sindiket ke rumahnya, semalam dan berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan polis berjaya menahan seorang wanita.

“Suspek wanita yang juga ahli sindiket itu akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 12:42 PM