GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


NAK pinjam RM7,000 tapi kena keluarkan modal RM6,930.

Itu yang berlaku terhadap lelaki berusia 32 tahun apabila dia diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud hingga terpaksa menanggung kerugian di Kepala Batas semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga penganggur melihat iklan pinjaman wang dalam laman sosial Facebook (FB) dan tertarik dengan tawaran diberikan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa meninggalkan nombor telefonnya di laman FB terbabit dan menyatakan minat mahu meminjam wang RM7,000.

“Mangsa dihubungi lelaki yang memperkenalkan diri ejen syarikat pinjaman itu yang kemudian memintanya membayar wang proses untuk membuat pinjaman.

“Dia kemudian mengikut arahan diberikan lelaki itu dan membuat bayaran RM6,930 ke dalam dua akaun bank berbeza,” katanya.

Noorzainy berkata, sindiket terbabit bijak menabur janji manis kepada mangsa hingga dia langsung tidak mengesyaki ditipu mereka.

“Mangsa hanya sedar dia diperdaya selepas diminta membuat bayaran susulan oleh sindiket terbabit sebelum dia membuat laporan polis.

“Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan muslihat digunakan sindiket yang menggunakan pelbagai helah untuk menipu.

“Jangan mudah terpedaya dengan iklan pinjaman wang di Internet dan jika was-was hubungi polis atau organisasi yang berkenaan untuk pengesahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 11:11 AM