GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan pelaburan selepas menahan lima individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di sekitar Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek berusia 28 hingga 38 tahun itu ditahan pada Selasa dan kelmarin.

Beliau berkata, serbuan dilakukan berdasarkan siasatan selepas menerima laporan polis berhubung kes penipuan pelaburan.

"Sindiket berkenaan menggunakan nama AGNC Capital Services disyaki mula beroperasi sejak pertengahan tahun ini. Sindiket mengiklankan skim pelaburan di platform media sosial dan menawarkan harga skim serendah RM100.

"Bagi setiap pakej pelaburan yang disertai, pelabur dijanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh yang singkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan berkenaan, Ramli berkata, sebanyak 17 telefon bimbit, sebuah komputer riba, dua modem, 24 kad ATM, lapan buku catatan dan masing-masing satu set dokumen serta penyata bank dirampas.

Katanya, setakat ini empat laporan polis diterima membabitkan kerugian RM78,900.

Tambah beliau, polis percaya jumlah mangsa bagi sindiket itu adalah kecil memandangkan ia baru ditubuhkan, namun meminta individu yang mungkin menjadi mangsa penipuan sindiket itu untuk tampil membuat laporan polis.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ramli berkata, sebanyak 148 serbuan pusat panggilan penipuan dilakukan sejak Januari hingga September lalu membabitkan 46 serbuan penipuan pelaburan, penipuan belian secara dalam talian (39); penipuan telefon (23); perjudian dalam talian (19); pinjaman tidak wujud (5); dan masing-masing satu love scam, ahlong serta pembekal akaun keldai.

"Dalam tempoh itu, seramai 1,160 individu ditahan dengan 791 warga tempatan dan bakinya warga asing terdiri daripada China, Indonesia, Taiwan, Bangladesh, Vietnam, Pakistan, Thailand, Filipina, India, United Kingdom, Perancis, Nigeria, Nepal, Korea Selatan, Kazakhstan, Jordan serta Iran.

"Daripada mereka yang ditahan itu, 501 individu sudah dihadapkan ke mahkamah manakala 659 individu masih dalam proses siasatan," katanya.

Kata beliau, PDRM komited untuk memastikan tindakan pembanterasan pusat panggilan penipuan dilakukan secara berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 5:31 PM