Shamsul Munir Safini


WANG pinjaman dan simpanan wanita berusia 51 tahun berjumlah RM3.2 juta ‘hangus’ selepas ditipu kekasih ghaib yang baru dikenalinya melalui aplikasi mencari jodoh.

Dalam tempoh perkenalan singkat antara Ogos hingga September tahun lalu itu, mangsa yang juga pegawai bank melakukan 19 transaksi berjumlah RM3.2 juta ke dalam tiga akaun berasingan milik seorang lelaki yang menggunakan nama samaran John Eric Chan di aplikasi itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa diajak untuk melabur di dalam perniagaan minyak dan gas dengan kos keseluruhan berjumlah USD25 juta.

“Mangsa termakan dengan pujukan lelaki yang dipercayai ahli sindiket ‘Love Scam’ dan membuat transaksi pertama berjumlah USD38,000 (RM152,000) tanpa mengesyaki sesuatu.

“Wanita berkenaan kemudian diminta memasukkan sejumlah wang sehingga dia terpaksa membuat pinjaman peribadi termasuk menggunakan ahli keluarganya untuk memohon pinjaman sebelum dimasukkan ke dalam akaun suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa terpedaya dengan janji suspek yang kononnya mahu menikahinya dan memasukkan wang berjumlah USD815,331 (RM3,261,324) atas dasar cinta palsu.

Noorzainy berkata, selepas memasukkan semua wang berkenaan, suspek sudah tidak dapat dihubungi.

“Mangsa cuba mencari bakal suaminya itu namun gagal malah dia sebelum ini juga tidak pernah bertemu suspek dan hanya berhubung melalui WhatsApp.

“Susulan itu, wanita berkenaan membuat laporan polis pada Selasa lalu sebelum siasatan dilakukan bagi mengesan lelaki berkenaan,” katanya.

Noorzainy berkata, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati apabila menggunakan laman sembang di media sosial atau aplikasi mencari jodoh bagi mengelak ditipu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 11:33 AM