GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


PENUNTUT sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Terengganu bukan hanya kerugian RM31,500 tetapi turut kehilangan barang kemas yang terpaksa digadai selepas ditipu sindiket penipuan.

Kejadian berlaku selepas wanita berusia 21 tahun itu menerima mesej melalui akaun Instagram dihantar lelaki memperkenalkan diri sebagai ‘James’, 6.45 petang 23 Jun lalu.

Menurut sumber, mangsa diminta membayar RM3,500 untuk cukai Kastam ke atas barangan yang dikirim seseorang namun mangsa memaklumkan hanya mempunyai RM1,000.

Katanya, suspek memaklumkan mangsa akan ditangkap pihak berkuasa jika gagal membuat pembayaran menyebabkan dia memindahkan wang RM1,000 ke akaun bank diberikan.

“Dua minggu kemudian, suspek menghubungi mangsa melalui WhatsApp mengarahkan wanita itu menjelaskan baki.

“Mangsa yang tidak mempunyai wang terpaksa menggadai barang kemas miliknya dan memasukkan baki ke dalam akaun sama yang diberikan sebelum ini.

“Bagaimanapun, suspek meminta mangsa membayar RM1,500 lagi kononnya sebagai kos penghantaran barang menyebabkan mangsa sekali lagi menggadaikan barang kemasnya kerana tidak mempunyai wang,” katanya.

Sumber berkata, suspek mengarahkan mangsa membuat pembayaran lagi dengan alasan barang yang dikirimkan itu mengandungi sejumlah wang dan mangsa yang teruja sekali lagi menggadaikan barang kemasnya sebelum memasukkan wang diminta ke dalam akaun sama.

Katanya, walaupun beberapa transaksi dibuat, suspek memaklumkan barang itu tidak dapat diserahkan kerana ia mengandungi dadah dan mangsa yang ketakutan membuat pembayaran kerana bimbang ditangkap.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas semua barang kemasnya digadai membabitkan kerugian RM31,500 dan membuat laporan di Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut 14 Ogos lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 4:19 PM