GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


SURI rumah hanya mampu menepuk dahi apabila kerugian RM2,840 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud di Raub semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 6 Mac lalu mangsa yang berusia 24 tahun melihat iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook dan meninggalkan nombor telefonnya.

Katanya, mangsa kemudiannya menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp kononnya dari wakil syarikat berkenaan dan bertanyakan mengenai permohonan pinjaman yang dibuatnya.

“Mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman RM5,000 dan suspek meminta mangsa memasukkan wang RM540 untuk bayaran insurans selama lima tahun tempoh pinjaman berkenaan.

“Beberapa jam kemudian mangsa menerima panggilan daripada lelaki yang dikenali sebagai Alan dan memaklumkan permohonan pinjaman mangsa sudah diluluskan namun mangsa perlu membuka akaun semasa dan diminta memasukkan RM1,000 untuk tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa kemudiannya diminta membuat beberapa lagi pembayaran untuk pelbagai tujuan dan mangsa berbuat demikian dengan memasukkan wang RM1,300 menerusi dua transaksi Khamis lalu.

Bagaimanapun mangsa mula curiga apabila sindiket berkenaan berterusan memintanya untuk membuat pembayaran dengan pelbagai alasan.

“Mangsa hairan kerana dia masih tidak memperoleh wang pinjaman berkenaan sebaliknya sindiket itu meminta mangsa membuat pelbagai pembayaran.

“Merasakan dirinya sudah ditipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub semalam,” katanya.

Katanya, polis membuka kertas siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya kini sedang mengenal pasti dan mengesan suspek berdasarkan maklumat pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 3:31 PM