GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


PEMBANTU kedai makan kerugian RM5,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan saham tidak wujud dalam kejadian di Dungun.

Kejadian itu dipercayai bermula apabila wanita berusia 26 tahun itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan pelaburan saham daripada sebuah syarikat pada 22 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan selepas mendengar penerangan itu memasukkan sebanyak RM500 ke satu akaun pada 2 Mac lalu.

Menurutnya, suspek kemudiannya memaklumkan pakej A dan B yang ditawarkan sebelum itu penuh dan mangsa perlu memilih pakej C jika ingin meneruskan pelaburan.

“Mangsa bersetuju dengan pakej C dan memasukkan RM1,500 lagi pada 6 Mac lalu sebelum diminta menunggu dua jam untuk proses.

“Mangsa menerima mesej memaklumkan menerima pulangan sebanyak RM26,779.57 tetapi perlu menyediakan sebanyak RM4,000 sebagai deposit.

“Bagaimanapun, mangsa memaklumkan hanya mempunyai RM3,000 dan suspek menjelaskan akan membantu mangsa sebelum mangsa memasukkan wang ke akaun sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, sebaik semua transaksi selesai, suspek meminta mangsa menunggu selama satu jam untuk mendapat pulangan yang dijanjikan.

Katanya, mangsa mengesyaki ditipu apabila tidak menerima wang yang dijanjikan sebelum membuat laporan di Balai Polis Dungun pada Jumaat lalu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 4:46 PM