Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI sanggup membayar sebanyak RM5,000 semata-mata mahu membersihkan namanya yang dikatakan terbabit dalam kegiatan wang haram dalam kejadian di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Bagaimanapun, mangsa berusia 60 tahun hanya menanggung kerugian selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai anggota polis dipercayai sindiket penipuan ‘Macau Scam’.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Daud’ dari Bukit Aman, kira-kira 3 petang.

Katanya, ‘Inspektor Daud’ memaklumkan mangsa dikesan bersubahat dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank dalam kegiatan wang haram dengan membenarkan pegawai bank itu menggunakan akaun bank miliknya untuk tujuan berkenaan.

“Suspek memaklumkan masalah itu boleh diselesaikan sekiranya mangsa membuat pembayaran RM5,000 dalam tempoh segera bagi mengelak ditahan polis.

“Mangsa yang ketakutan segera memasukkan RM5,000 ke dalam akaun sebuah bank diberikan suspek dan mula mengesyaki menjadi mangsa sindiket penipuan selepas suspek memintanya memasukkan sejumlah wang dengan memberikan pelbagai alasan.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada keesokan harinya (Khamis) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 2:55 PM