Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menyewa hampir tiga bulan berikutan rumahnya hampir roboh, akhirnya dapat mendiami rumah baharu apabila kediaman itu siap sepenuhnya, hari ini.

Lebih menggembirakan, rumah yang diduduki Mohd Khairul Pitri Abdul Hamid, 45, dibina 10 penuntut Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kakak Mohd Khairul Pitri, Normawati Abdul Hamid, 54, berkata, dia bersama adik-beradik lain sepakat mencari rumah sewa buat Mohd Khairul Pitri sebelum bercadang menggantikan rumah pusaka berusia 39 tahun itu dengan yang baharu dan selesa.

“Sebelum ini, kami adik-beradik mengumpul dana bagi membina rumah baharu buat dia (Mohd Khairul Pitri).

“Namun, dana itu tidak mencukupi untuk memanggil kontraktor bagi menjalankan kerja pembinaan.

“Kebetulan, seorang ahli keluarga yang bekerja di PSA memaklumkan ada program CSR yang boleh membantu dalam pembinaan rumah ini dan ia dilakukan sendiri oleh pelajar,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Jalan Masjid Makmuriah, Sungai Besar, hari ini.

 SYED Hussian (kiri) dan Mohd Fasiah (kanan) menyerahkan plak perasmian rumah kepada Mohd Khairul. FOTO Roslin Mat Tahir
SYED Hussian (kiri) dan Mohd Fasiah (kanan) menyerahkan plak perasmian rumah kepada Mohd Khairul. FOTO Roslin Mat Tahir

Terdahulu, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh menyampaikan plak rumah berkenaan kepada Khairul Pitri yang turut ditemani Normawati.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Syed Junid dan Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail.

Normawati yang juga anak ketiga daripada lapan beradik juga bersyukur rumah itu dibina di atas tapak rumah asal lama dan lebih gembira ia siap sebelum Aidiladha.

“Memandangkan adik mengalami penyakit mental sejak berusia 13 tahun dan tidak berkahwin, saya dan adik-beradik lain sepakat menziarahinya setiap minggu bagi memantau kesihatannya.

“Malah, reka bentuk dan bahagian dalaman rumah itu juga diilhamkan sendiri oleh kami bagi memudahkan pergerakan adik seharian,” katanya yang menetap di Kota Warisan, Sepang.

Menurut Normawati, dengan terbinanya rumah baharu itu, dia berharap Khairul Pitri dapat menguruskan dirinya dengan baik dan tidak lagi menghadapi masalah seperti sebelum ini.

Sementara itu, Mohd Zahari berkata, rumah dibina penuntut PSA itu merangkumi tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan 92.9 meter persegi.

“Pembinaan ini membabitkan peruntukan di antara RM70,000 dan RM100,000 dan mendapat penjimatan kos sehingga 40 peratus.

“Malah, projek ini adalah kesinambungan daripada projek sebelum ini di mana hampir lima tahun ia berjalan di bawah bidang teknikal dan pendidikan vokasional (TVET),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 5:51 PM